Saturday 19 December 2020

CARA MENAMBAH KEBERKATAN REZEKI

Pastinya kita amat berharap mendapatkan rezeki yang berkat untuk menjadikan kehidupan kita lebih tenang, cukup dan sentiasa dalam naungan Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, dalam isu keberkatan, setiap Muslim perlu mempunyai sifat qanaah iaitu reda dan menerima apa saja tanpa menuntut perkara yang bukan keperluannya.

Lawan kepada sifat qanaah adalah tamak. Ia menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki orang lain. Maka, ucapan ‘Alhamdulillah’ perlu dilafazkan bagi menanam sifat qanaah supaya kita sentiasa menerima perkara yang baik.

Rezeki adalah ketentuan Allah kurniakan kepada hamba-Nya dari pelbagai sudut. Terdapat tiga kesudahan rezeki iaitu jika pakaian, lama kelamaan pasti ia terbuang, makanan menjadi najis atau menjadi bekalan di akhirat jika dibelanjakan ke jalan Allah.

Justeru, untuk menambah keberkatan kita perlu membiasakan diri dengan amalan bersedekah. Sifat pemurah akan memberikan ketenangan kepada diri selain turut disayangi orang lain.

Kita perlu ingat, harta yang kita miliki selama ini terdapat juga hak orang lain yang wajib ditunaikan. Kekayaan bukan terletak pada hebatnya harta seperti kereta mewah, rumah, tanah serta perniagaan yang dijalankan tetapi kekayaan iman yang mencerminkan kesederhanaan hidup.

Apabila rezeki tiada nilai keberkatan, kita sentiasa dalam suasana tidak mencukupi. Ada satu, mahu yang lain dan begitulah seterusnya namun tetap merasa kekurangan. Berkat bermaksud peningkatan serta penyuburan iaitu yang sedikit kita merasa seolah-olah banyak dan mencukupi.

Allah Maha Berkuasa untuk memberi, menarik, meluas serta menyempitkan rezeki sesiapa sahaja. Memang banyak hikmah rezeki yang berkat, antaranya menjadi punca termakbulnya doa.

Ingatlah, jika Allah cepat memakbulkan sesuatu doa hamba-Nya itu, bermakna Allah amat menyayanginya. Jika Allah lambat memakbulkan doa, maka itu adalah satu ujian buat hamba-Nya manakala jika Allah tidak memakbulkan doa seorang hamba-Nya maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untuk kita.

Jadi, kita perlu sentiasa mencari keberkatan dalam hidup seharian kerana ia penting bagi menjamin kesejahteraan. Apabila mendapat keberkatan, kemurahan rezeki itu secara langsung dapat dinikmati.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang ingin murah atau lapang rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia menghubungkan atau menyambungkan silaturahim (sesama manusia) (Riwayat Bukhari).


No comments:

Post a Comment