Friday, 21 July 2023

URUSAN POLITIK TIDAK TERMASUK DALAM AKIDAH

 
Berpolitik termasuk dalam urusan menegakkan syariat dan negara Islam. Justeru, urusan politik perlu menurut kaca mata Islam dan kepentingannya kepada sesebuah negara. Dari itu, umat Islam akan menjadi lebih cakna isu semasa dan berhati-hati dalam memilih pemimpin. 
 
Berdasarkan disiplin ilmu-ilmu Islam, perbahasan politik dibincangkan di bawah bidang fiqah dan bukan berkaitan aqidah.
 
Dalam syariat Islam, terdapat satu kategori hukum yang disebut sebagai hukum-hakam pemerintahan atau hukum-hakam politik Islam.
 
Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syarak tidak memutuskan secara terperinci. Sebaliknya hukum-hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam.
 
Aktiviti dan pelaksanaan politik di Malaysia sangat berperanan besar dalam membentuk cara hidup, berfikir, beragama bagi setiap rakyat dan dari sudut pandang lainnya iaitu kesan pada tahap ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keamanan pada negara. Namun, itu semua adalah kesan yang akan ditentukan oleh pemimpin yang telah dipilih secara majoriti.
 
Jawatan pemerintah tertinggi sangat penting untuk merealisasikan kewujudan sebenar umat Islam. Oleh itu, pemerintah mesti diwujudkan dan dilantik untuk memimpin umat Islam.
 
Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri.
 
Kedudukan pemerintah di kalangan semua individu umat pula adalah umpama paksi pada sesuatu bulatan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya.
 
Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmoniaan keadaan. Ia turut dirasai oleh spesis haiwan dan ternakan.
 
Sebahagian besar pelaksanaan hukum-hakam dalam syariat Islam tertakluk kepada kuasa pemerintah. Hukum-hakam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kecuali melalui kuasa dan arahan pemerintah, seperti menghakimi kes-kes mahkamah, melantik para penjaga, mengisytiharkan halangan (al-hajr) dan perang, memeterai perdamaian dan sebagainya.
 
Oleh itu, bagi membolehkan hukum-hakam syarak dilaksanakan sepenuhnya dengan cara yang betul dan diterima oleh Allah SWT, mestilah ada pemerintah yang akan melaksanakan hukum-hakam itu dan memantau perlaksanaannya.

No comments:

Post a Comment