Tuesday, 3 October 2023

POKOK KEMUNTING DIJADIKAN HIASAN

 
Kemunting (Rhodomyrtus tomentosa) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Myrtaceae yang tumbuh di kawasan tropika dari negara India, Sri Lanka, China dan kawasan Asia Tenggara.
 
Kemunting tumbuh sebagai semak samun di kawasan lapang dan terbiar. Ia merupakan tumbuhan renek yang boleh mencapai ketinggian hingga 2 meter. Batangnya yang muda mempunyai bulu-bulu pendek yang halus dan padat.
 
Daunnya tersusun secara bertentangan, berbentuk ringkas dan berbentuk bujur. Permukaan daun berkilat dengan warna hijau gelap manakala bahagian bawah daunnya mempunyai bulu-bulu halur dan berwarna hijau pudar.
 
Bunganya berwarna merah jambu, dengan lima kelopak. Ia mempunyai banyak stamen dengan 5 filamen berwarna merah jambu dan saiznya berukuran (garis rentas) 2. 5 cm. Satu atau lebih bunga tersusun pada tangkai bunga.
 
Buahnya kecil (beri) dengan ukuran garis rentas lebih kurang 1. 3 cm, berwarna ungu gelap dengan isi yang manis dan berbau harum.
 
Kemunting hidup subur di kawasan yang tanahnya mempunyai kelembapan yang tinggi terutamanya berhampiran dengan paya atau sungai. Namun ia juga boleh beradaptasi dengan pelbagai jenis tanah seperti tanah pasir dan tanah yang agak masin.
 
Kemunting menghasilkan buah berbentuk beri yang bujur yang dimakan mentah atau boleh dibuat jem, jeli atau jus. Isi buah yang manis ini memang sedap dimakan. Buah yang masih muda rasanya kelat. 
Biasanya, buah yang terhasil daripada pokok yang ditanam lebih manis berbanding dengan pokok yang tumbuh liar.
 
Pokok kemunting juga mengandungi tar kayu yang digunakan sebagai pewarna hitam iaitu tujuan komestik untuk menghitamkan bulu kening dan juga mencuci gigi.
 
Pokok Kemunting boleh ditanam dengan menggunakan biji, secara tut atau boleh gunakan keratan ranting. Buah yang masak mengandungi biji yang mudah bercambah. 
Pokok yang ditanam menggunakan biji akan berbuah selepas 3 tahun dtanam, berbanding dengan pokok kemunting yang ditanam dengan cara tut atau keratan yang akan berbuah dalam masa satu (1)  tahun sahaja.
 
Batang kemunting mampu mencapai tinggi dua meter. Kayunya sangat keras.
Pokok kemunting sesuai dijadikan tumbuhan hiasan. Bunganya yang berwarna merah muda dengan benang sari menawan, layak dijadikan tanaman di halaman rumah.
 
Buah muda berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada warna ungu atau ungu tua atau hitam apabila masak. Permukaan buah kemunting yang telah masak seperti berkabut. Setelah bahagian kepalanya dibuang, maka kemunting siap dimakan bersama kulit-kulitnya.
 
Isinya berwarna merah kuat dan rasanya manis. Buah kemunting masak mengandungi air, gula, vitamin dan juga mineral. Isi buah seperti anggur, hanya terasa lebih berserat. 
 
Khasiat buah kemunting
https://bicaramentari.blogspot.com/2018/10/ser.html 

No comments:

Post a Comment