Didakwa lupus pelaburan TH sebanyak RM860, Bekas Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom,
telah didakwa kerana didapati menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan
wang bernilai lebih RM860 juta kepada pihak Al-Rawda.
Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur atas tiga
pertuduhan menyebabkan TH melupuskan aset bernilai lebih RM860.3 juta antara
2015 hingga 2017.
Jamil Khir, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan
berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Jamil Khir didakwa menyebabkan TH
melupuskan wang berjumlah RM860,308,770.51, kepada Al-Rawda Real Estate
Development And Projects Management Co Ltd (al-Rawda).
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa menyebabkan TH
melupuskan wang berjumlah RM42,942,074, bersamaan SAR44.17 juta.
Pertuduhan kedua membabitkan RM288,172,134.64, bersamaan
SAR250,041,622, manakala pertuduhan ketiga membabitkan RM529,194,561.87,
bersamaan SAR471,848,615.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabatnya di Bahagian
Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri, di Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan dan Kompleks Islam Putrajaya, masing-masing pada 3 April 2015, 14
Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun
Keseksaan. Jika sabit kesalahan, peruntukan itu membawa hukuman penjara antara
enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Seksyen 403 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan
menyalahgunakan harta dengan curang atau penyelewengan harta secara jenayah.
Seksyen 403 Kanun Keseksaan bukan berkaitan pecah amanah
rasuah. Pertuduhan pecah amanah rasuah adalah di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan.
Al-Rawda sebuah syarikat pemaju hartanah dan pengurusan
projek dari Arab Saudi. Pelaburan ini dikenal pasti oleh Suruhanjaya Siasatan
Diraja (RCI) sebagai kerugian bagi tempoh operasi antara 2014 hingga 2020.
Pada peringkat awal pelaburan, Al-Rawda membuat bayaran
kepada TH sepertimana mengikut perjanjian. Bagaimanpun, bayaran yang sepatutnya
dijelaskan terhenti mulai Mac 2019. Maknanya, sepanjang Pakatan Harapan (PH)
menjadi kerajaan bermula Mei 2018, bayaran masih diteruskan oleh Al-Rawda.
Bayaran mula terhenti apabila Al-Rawda terkesan dengan
tindakan kerajaan Arab Saudi rampas kumpulan Binladen di sana.
Lalu menjadi lagi parah dengan dua tahun pandemik 2020-2021
di mana hotel-hotel milik mereka tidak dapat beroperasi.
Pakar menjangkakan peluang TH untuk mendapatkan semula baki
award timbang tara bernilai ratusan juta ringgit daripada kes ini adalah agak
tipis.
Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom

