Hutang membawa
bala yang menyebabkan hidup semakin tertekan. Sebab itu jauhi hutang dengan
cara berjimat dan hidup sederhana agar sentiasa tenang. Didapati banyak orang
berhutang bukan satu keperluan mustahak. Mereka berhutang kerana ada pihak
ingin memberi hutang iaitu peluang guna dulu, bayar kemudian.
Institusi
kewangan sering mempromosikan tawaran untuk orang ramai yang berkelayakan untuk
memohon hutang. Maka amalan berhutang tanpa alasan kukuh semakin menjadi
budaya.
Berhutang tidak
lagi mendatangkan aib, bahkan satu kemegahan kerana mereka ‘layak’ meminjam
yang sekali gus membuktikan keupayaan membayar.
Ada yang
berhutang kerana ingin mendapatkan wang bagi membayar hutang sebelumnya. Hutang
baru yang diperoleh tidak boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain.
Sedangkan, setiap
hutang menyebabkan beban bertambah kerana dikenakan faedah. Istilah gali lubang
timbus lubang diberikan kepada mereka yang mengamalkan sikap
itu.
Penggunaan kad
kredit didapati punca banyak individu menghadapi tindakan undang-undang
daripada pemiutang. Jika tidak dapat menjelaskan hutang, maka proses
bankrap dikenakan. Ia satu tindakan tegas pemiutang mengikut lunas
undang-undang.
Individu
berstatus bankrap dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam
hal-hal tertentu. Namun, tindakan tegas itu tidak memberi pengajaran
sewajarnya kepada ramai individu yang masih galak berhutang.
Banyak peminjam
institusi akan menggunakan pelbagai institusi kewangan dengan membuat pinjaman
sehingga had maksimun yang dibenarkan oleh setiap institusi.
Disebabkan terlalu
banyak hutang dan perlu dijelaskan pada tempoh yang sama, mereka mereka
menghadapi kesukaran untuk menjelaskannya.
Masalah itu akan
mendorong penghutang melakukan kesalahan lain seperti menerima rasuah, menipu
dan sebagainya. Ini terpaksa dilakukan agar dapat menjelaskan hutang dan
tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Malah, ada yang
membunuh diri disebabkan gagal membayar hutang dan keadaan kewangan yang
mengganggu kewarasan fikiran.
Untuk mengelak
masalah itu, adalah lebih baik awal-awal lagi tidak berhutang. Jika perlu
sangat berhutang, biarlah mengikut keperluan minimun saja dan untuk tujuan
kebaikan.
Jika ada
keperluan yang masih boleh ditangguhkan, elok ia ditangguhkan sehingga
mempunyai sumber kewangan sendiri baru dipenuhi keperluan itu. Itu
adalah sebaik-baik usaha untuk menjadi diri daripada masalah beban hutang.
Menyedari
besarnya tanggungjawab yang dipikul apabila berhutang, Rasulullah selalu
meminta perlindungan kepda Allah daripada perbuatan itu seperti doa Baginda:
“Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada dilanda hutang dan
kekuasaan orang lain.” - (Hadis riwayat Bukhari).
Menjadi kelaziman
penghutang sering berdusta dan mungkir janji dalam urusan hutang. Perbuatan
buruk itu dilakukan apabila menghadapi masalah menjelaskan hutang. Semasa
hendak berhutang, pelbagai janji diucapkan.
Rayuan dan sumpah
digunakan agar permintaan itu ditunaikan. Tetapi apabila tiba masa membayarnya,
pelbagai helah dan alasan dibuat.
Malah ada
penghutang memang sudah mempunyai niat buruk tidak mahu membayar hutang sejak
mula berhutang. Janji ingin menjelaskan hutang hanya ‘syarat’ hutang. Jika
tidak berjanji ini membayar, sudah tentu tidak ada pihak ingin memberi hutang
kepadanya.
Apabila tiba masa
membayar kembali, setiap kali pemiutang meminta hutang, mereka memohon
tangguh. Lama kelamaan perkara itu berlalu begitu saja.
Salah satu syarat
berhutang ialah mempunyai niat untuk menjelaskannya apabila berkemampuan atau
cukup tempoh dijanjikan. Perkara ini ditekankan dalam ajaran Islam agar
setiap penghutang mesti mempunyai niat ingin menjelaskannya.
Sabda Rasulullah
bermaksud: “Barang siapa berhutang wang daripada orang lain dan berniat akan
membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya. Akan tetapi barang siapa
yang mengambil hutang dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak
membayarnya), maka Allah akan merosakkannya.” - (Hadis riwayt Bukhari).
Proses membayar
hutang juga perlu dilakukan secepat mungkin apabila berkemampuan. Orang yang
berhutang perlu bersikap jujur membayarnya segera biarpun belum sampai
tempohnya.
Itu adalah
sebaik-baik untuk mengelak wang itu digunakan untuk tujuan lain pula yang
mungkin menyebabkan tidak mampu menjelaskan hutang apabila tiba masanya. Sikap
bertangguh dalam melakukan kebaikan ditegah dalam Islam.
Perkara berkaitan
hutang yang perlu dilakukan dengan jujur dan adil ada diingatkan dalam al-Quran. Ini
membuktikan betapa soal hutang menjadi perkara penting dalam hal
pelaksanaanya.
Firman Allah
dalam surah al-Baqarah ayat 282 bermaksud: “Wahai orang-orang yang
beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang puitang
yang diberi tempoh hingga suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis
(hutang dan masa membayarnya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara
kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan
menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.”
Janji hutang yang
dibuat secara bertulis bukan saja untuk diingati tetapi sebagai bukti bagi
pihak lain jika salah seorang daripada penghutang maupun pemiutang meninggal,
maka soal hutang itu diselesaikan oleh warisnya.
No comments:
Post a Comment