Monday 13 September 2021

CARA TANAM POKOK PISANG TERBALIK

 
Kaedah atau cara biasa tanam pisang ialah bahagian bawah umbisi atau anak benih diletakkan di bahagian bawah di dalam lubang. 

Namun sekarang ini ada petani mencuba sebaliknya. Umbi pisang diletakkan di bahagian atas atau dikenali teknik songsang atau tanam terbalik.

Pisang yang ditanam melalui teknik songsang atau tanaman terbalik keadaan fizikal pokoknya agak rendah jika dibandingkan dengan kaedah tanaman biasa. Hasilnya, buahnya lebih banyak dan besar.  

Penciptaan kaedah yang dihasilkan dalam kalangan mereka meminati dunia pertanian yang berfikiran kreatif dan inovatif ini adalah tidak lain semata-mata hanya untuk meningkatkan kemajuan bidang tersebut melalui pertambahan pengeluaran hasil sesuatu tanaman diusahakan.

Petani di Thailand antara yang terkehadapan dalam penghasilan teknik dan kaedah meningkatkan produk pertanian tidak kira jenis tanaman kontan mahupun kekal.

Petani di Indonesia juga banyak melakukan inovasi untuk hasil lebih baik dalam aktiviti pertanian.

Salah satu teknik pertanian yang boleh dianggap luar biasa dan tidak tergambar oleh fikiran dan mudah dilakukan ialah tanaman pisang. 

Kaedah yang dimaksudkan dikenali sebagai proses songsang iaitu pisang ditanam mengikut teknik terbalik. 

Pisang yang hendak ditanam mengikut cara ini ialah pokok yang sudah mengeluarkan hasil dan ditebang. Ambil pokok pisang dan potong bahagian ubi atau perdunya sepanjang kira-kira 30 sentimeter dan seterusnya ditanam dengan membalikkan ubinya ke atas. 

Untuk proses menanam pisang melalui teknik songsang, pilih ubi pisang yang subur dan sudah ditebang pada ukuran antara 30 sentimeter hingga 40 sentimeter termasuk perdunya (sebahagian batang).

Dalam pemikiran sebagai orang biasa, kaedah penanaman pisang mengikut teknik ini mungkin tidak dijangka sama sekali malahan jika difikirkan ia seperti kurang munasabah.

Bayangkanlah, katanya bagaimana pokok pisang boleh tumbuh sedangkan cara menanamnya berbeza sama sekali daripada kaedah yang selalu digunakan iaitu dengan menanam ubinya dan bukan bahagian batangnya dahulu.

Antara kebaikan yang diperoleh jika mempraktikan teknik tanaman pisang secara terbalik atau songsang termasuklah:

- Banyak anak pisang akan tumbuh daripada satu benih yang ditanam.

- Pokok yang tumbuh keadaan fizikalnya rendah dan tidak mudah tumbang bila terkena tiupan angin.

- Keadaan pokoknya cepat berbuah.

- Pisang yang ditanam mengikut teknik ini berbuah rendah dan mudah dicapai semasa menuai buahnya.

- Jarak pelepah daunnya lebih rapat jika dibandingkan dengan pisang yang ditanam secara biasa.

- Buah yang dihasilkan lebih besar dan banyak dalam satu-satu tandan.

Cara tanam pokok pisang teknik terbalik:

- Potong bahagian ubi atau perdu pokok pisang yang hendak dijadikan benih dan hendaklah ditanam dengan kedalaman antara 40 ke 50 sentimeter (cm). Pelbagai jenis pisang boleh dijadikan benih.

- Korek lubang sedalam kira-kira 40  sentimeter dan lebar 30 sentimeter. Gemburkan tanah yang bakal ditanam benih pisang supaya akarnya cepat tumbuh. Letakkan baja di dalam lubang telah dikorek supaya pertumbuhannya subur dan cepat.

- Tanam pokok pisang yang hendak dijadikan benih memenuhi lubang yang siap dikorek secara terbalik dengan meletakkan bahagian ubinya di atas, manakala batang pisang tersebut ditanam ke dalam lubang.

- Selepas proses menanam selesai tutup lubang dan tinggalkan benih pisang antara 2 sentimeter ke 3 sentimeter di atas permukaan tanah.

- Ambil rumput atau daun kering, tutupkan atas benih tadi supaya tidak cepat kering kerana cuaca panas.

- Siram air setiap hari supaya benih tersebut cepat bertunas dan tumbuh dengan elok.

- Selepas beberapa bulan (bergantung kepada kesuburan tanah dan cara pengawasan), tunas anak pokok baharu akan tumbuh.

- Jika disiram dan dibaja dengan teratur, pokok pisang berkenaan akan tumbuh dan berbuah lebih cepat berbanding proses tanam secara normal.

- Setelah pokok pisang tersebut berumur hampir setahun ditanam secara teknik ini akan menghasilkan buah yang agak lebat dan fizikal pokok lebih rendah jika dibandingan dengan ketinggian pisang yang ditanam secara normal.

No comments:

Post a Comment