Sunday 26 September 2021

JANGAN TERIMA BEBAN MELEBIHI KEMAMPUAN

  
Setiap jambatan ada had beban atau berat yang boleh ditanggung. Jika ada kenderaan yang melebihi berat yang sepatutnya, maka ia akan roboh. 
 
Kerosakan itu bukan sahaja ditanggung oleh pemilik kenderaan itu, bahkan semua pengguna lain tidak dapat memanfaatkan lagi jambatan tersebut sehinggalah ia dibaiki. 
 
Begitulah juga dengan manusia. Setiap orang ada keupayaan berbeza dalam menghadapi sesuatu situasi. Jangan sekali-kali mengambil tanggungjawab jika kita tidak mampu melaksanakan. 
 
Contohnya, jika kita tidak mampu menjadi pemimpin, jangan sekali-kali berebut hendak menjadi pemimpin. Jawatan pemimpin bukan untuk bermegah, tetapi satu amanah yang amat bera. 
 
Menurut Al Mawardi, Islam meletakkan kepimpinan sebagai pengganti kepada fungsi kenabian bertujuan menjaga agama Allah SWT dan mengatur kehidupan manusia di dunia dengan adil dan sejahtera. 
 
Seseorang ketua atau pemimpin dalam sesebuah organisasi dan masyarakat penting bagi melaksanakan syariat Allah SWT di muka bumi ini, selain menjaga kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan ramai, serta mengelak berlakunya pertelingkahan antara mereka. 
 
Seorang pemimpin yang bertanggungjawab perlu melaksanakan tugas secara berhati-hati dan tiada berhajat untuk mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi dalam menjalankan amanahnya. 
 
Sesungguhnya, betapa beratnya tugas seseorang pemimpin itu adalah dengan ancaman sekiranya ia gagal dalam melaksanakan tugas dengan adil dan mengabaikan kebajikan rakyat, maka pemimpin itu dijanjikan azab yang berat oleh Allah SWT di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment