Sunday 3 December 2023

PUNCA HUBUNGAN UMNO PAS BERMASALAH

 
Hubungan UMNO PAS penuh berliku. Hubungan UMNO dan PAS bermasalah disebabkan sikap PAS yang mendakwa UMNO mengamalkan semangat kebangsaan yang bertentangan dengan tuntutan Islam. Lebih parah lagi apabila membuat 'fatwa' orang UMNO keluar dari Islam atau tidak diterima sebagai Islam sebenar.
 
Contohnya, pada November 1979,  seorang pemimpin PAS, Mustaffa Abu Bakar telah mengeluarkan 'fatwa' di Kampung Keruak, Hulu Besut, Terengganu yang mengatakan “sembahyang berimamkan orang Barisan Nasional (BN) tidak sah, sembelihan orang BN tidak boleh dimakan dan nikah yang dilakukan oleh jurunikah kerajaan tidak sah, kalau bersetubuh hukumnya zina dan kalau dapat anak, anak itu haram”.
 
PAS tidak pernah mempersoalkan kesahihan atau menafikan 'fatwa' tersebut yang digunapakai oleh PAS hingga ke hari ini. Adakah 'fatwa' ini Islamik?
 
Pada Ogos 1963, Dewan Ulama PAS telah mengeluarkan kenyataan bahawa “orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara menjadi kafir atau haram…” dan “sesiapa yang mengundi di atas parti-parti yang berkongsi itu menjadi haram, jika reda menjadi kafir, tetapi jika tidak reda menjadi haram sahaja.
 
Fatwa ini telah digunakan dengan seluas-luasnya oleh PAS sehinggalah Pilihan Raya Umum (PRU) 1974 apabila PAS menjadi keluarga BN.
 
Apabila PAS meninggalkan BN menjelang PRU 1978, sekali lagi fatwa tersebut digunakan secara berleluasa tanpa mengambil kira kesan serta implikasinya terhadap kesejahteraan umat Islam di Malaysia.
 
PAS tidak pernah menafikan fatwa tersebut. Bagaimanapun, menjelang PRU 1990, fatwa tersebut seolah-olah diketepikan oleh PAS.
 
Berita Harian 25 Mei 1990 melaporkan Nik Aziz berkata bahawa PAS memerlukan bantuan DAP dalam usahanya memenangi PRU akan datang (1990). Untuk itu, PAS akan berusaha menjelaskan konsep Negara Islam kepada DAP demi mengelakkan sebarang keraguan rakyat bukan Islam mengenai konsep tersebut.
 
Kenyataan ini melanggar fatwa PAS yang melarang kerjasama dengan bukan Islam. Mengapakah PAS tidak berani berkata tindakan Nik Aziz itu “jika reda menjadi kafir, tetapi jika tidak reda menjadi haram”?
 
Mengapakah Parti Semangat 46 (rakan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah) berkerjasama dengan DAP hukumnya halal sementara UMNO bekerjasama dengan pihak bukan Islam dikatakan haram?

Kalau dulu PAS sanggup menggunakan fatwa ini untuk mengkafirkan dan mengharamkan UMNO dan BN maka pada masa itu PAS tidak berpaling ke belakang lagi dengan mengambil DAP sebagai rakan sekutu subahatnya dalam menuju ke arah cita-cita politik peribadinya.
 
Bahkan, PRU 12 dan 13 menyaksikan calon bukan Islam dibenarkan bertanding atas tiket PAS dan dibenar menggunakan logo dan bendera parti itu.
 
Orang UMNO dan PAS adalah ahli Sunnah Wal Jamaah. Tidak ada kepercayaan atau ibadat orang UMNO yang berbeza atau bertentangan dengan ajaran Sunnah. Orang PAS pun demikian. Tokoh-tokoh agama UMNO tidak kurang terpelajar dalam agama Islam daripada tokoh-tokoh agama dan tok-tok guru PAS. Kepercayaan dan ibadat orang UMNO dan orang PAS adalah sama.
 
Tetapi PAS tidak mengakui keislaman orang UMNO sehingga sanggup menolak imam yang bukan daripada PAS, sanggup memisahkan jemaah di dalam satu kariah, sanggup mengasingkan kubur dan berbagai-bagai lagi amalan yang menidakkan persaudaraan dalam Islam.
 
Amat malang kerana politik PAS, orang Melayu/Islam yang bersatu padu dan bersaudara, yang semuanya ahli Sunnah Wal Jamaah telah dipecah dan diasingkan. PAS menolak perpaduan dan persaudaraan kerana kepentingan politik. Tindakan ini sedikitpun tidak berasaskan kepada Islam.
 
Nik Aziz pada PRK DUN Kuala Besut mengatakan sembahyang orang UMNO tidak diterima. Fatwa ini sebenarnya difahami oleh penyokong PAS yang berpendidikan agama bahawa ia sekadar 'fatwa politik'.  
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ceramahnya di Markas PAS Kuah Langkawi, pada 1 Mei 2018 menafikan bahawa parti itu pernah i mengkafirkan umat Islam lain tetapi sebaliknya mendakwa ini dilakukan oleh ahli partinya yang melompat menyertai Umno.
 
Katanya, PAS tidak berhak berbuat demikian kerana itu bukan ajaran Islam yang sebenarnya.
 
“Kita ajak dan beritahu orang Islam, kita mesti percaya pada Islam. Dia kata kita mengkafirkan orang, bukan kerja kita mengkafirkan orang.
 
“PAS tidak mengkafirkan si anu dengan si anu, sia anu dengan si anu. (PAS tak kata) Umno kafir orang tu kafir, PAS tak kata begitu.
 
Pada 6 Ogos 2023, Pemuda Pas menafikan dakwaan kononnya parti itu menerapkan budaya ekstrem seperti mengkafirkan penyokong dan parti lain.
 
Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pimpinan parti tidak sewenang-wenangnya melabelkan orang sebagai kafir secara mutlak dan menghukum sama ada seseorang itu penghuni syurga atau neraka.
 
“Kami (Pemuda Pas) membesar dalam situasi tidak melabelkan orang sebagai secara mutlak atau orang itu ke neraka atau ke syurga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
 
Ahmad Fadhli berkata demikian menjelaskan isu seorang nenek penyokong parti Pas yang mengkafirkan parti lain dalam sebuah video tular sebelum itu.
 
PAS secara rasminya memang tidak pernah keluarkan kenyataan mengkafirkan pihak lain. Namun, pemimpin dan ahlinya sering berbuat demikian. Kalau di kalangan pemimpin berbuat demikian, itu boleh dianggap dikeluarkan oleh PAS dan menjadi pegangan ahli PAS.
 
Contohnya, menjelang Pilihan Raya Umum Keenam (1982), Ustaz Abdul Hadi Awang dilihat sebagai pemimpin pelapis PAS telah mengeluarkan kenyataan yang dikenali Amanat Haji Hadi, ketika berceramah di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Ucapan beliau telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu.
 
Sedutan ucapan ini adalah seperti berikut:

Saudara-saudara sekelian percayalah, kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian. Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha. Kita tidak perlu masuk Hindu. Kita tidak perlu masuk Kristian. Tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan 'politik suku, agama suku'.
 
Walau bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan beliau tidak pernah melabelkan ucapan dan kenyataan tersebut sebagai Amanat Haji Hadi, tetapi dilabelkan oleh pihak lain.
 
Hakikatnya ucapan itu memang menguasai minda penyokong PAS apabila ia dicetak dalam empat versi. Pertama dalam tulisan jawi yang dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran Pilihan Raya Kecil DUN Selising Kelantan pada tahun 1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Dewan Pemuda PAS Pusat.
 
Betapa ucapan itu memberi kesan buruk, pada tahun 1984, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan amanat tersebut sebagai bertentangan dengan Islam.
 
Menurut fatwa pada 21 November 1984, jika terdapat tuduhan atau anggapan oleh anggota atau penyokong PAS atau sesiapa sahaja terhadap anggota UMNO, pemimpin atau pegawai kerajaan beragama Islam sebagai kafir, atau sebaliknya (UMNO menuduh PAS), ia adalah tidak benar dan sia-sia. Ini kerana anggota-anggota UMNO atau sesiapa yang mengucap dua kalimah syahadah adalah tetap orang Islam selagi tidak dihukum murtad oleh pihak berkuasa agama Islam negara ini.
 
Fatwa itu turut menyatakan tuduhan mengatakan seseorang yang beragama Islam sebagai kafir adalah perbuatan haram yang perlu diberhentikan serta-merta dan hendaklah bertaubat kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment