Wednesday 25 October 2023

MASJID AL-KAUTHAR LAMBANG SYIAR ISLAM DI TAWAU

 
Masjid al-Kauthar Tawau adalah masjid utama di bandar Tawau. Masjid al-Kauthar juga dikenali Masjid Kubah Hijau kerana kubah utamanya berwarna hijau yang jelas kelihatan yang kontra dengan warna bahagian lain adalah putih.
 
Masjid al-Kauthar merupakan mercu tanda pembangunan Islam di Tawau. Masjid itu juga dikenali dengan nama Masjid Besar kerana ia bukan sahaja terbesar di Tawau, bahkan adalah masjid terbesar di negeri Sabah.
 
Masjid al-Kauthar mula dibina pada tahun 1997 dan telah siap pada 2002 dengan kos yang menelan belanja hampir RM32 juta. Ia kemudiannya telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 13 Ogos 2004.
 
Ia terletak berhampiran kawasan tepi laut menjadikan ia cukup mendamaikan dan menjadi tempat pesinggahan mereka yang melawat Tawau.
 
Masjid al-Kauthar dihubungkan melalui Jalan Traulsen atau Jalan Persisir ke tempat lain di bandar Tawau, mampu menampung sehingga 17 ribu orang jemaah pada satu-satu masa.
 
Masjid ini mempunyai tiga tingkat secara keseluruhannya. Tingkat pertama adalah tingkat untuk jemaah lelaki menunaikan solat, manakala tingkat kedua untuk jemaah wanita. Tingkat bawah pula adalah untuk menampung jemaah sekiranya tingkat satu dan dua telah penuh. Terdapat kawasan di tingkat bawah yang mempunyai dinding boleh alih digunakan untuk mengasingkan jemaah lelaki dan wanita.
 
Masjid ini menyediakan dua cara untuk berwuduk iaitu cara moden dan cara kampung. Cara moden adalah dengan menggunakan paip air untuk berwuduk. Bagi cara kampung pula, sebuah kolam air besar disediakan.
 
Selain dewan solat, di masjid tersebut juga terdapat perpustakaan, dewan seminar dan pejabat pentadbir.
 
Masjid-masjid lain yang terdapat di Tawau ialah Masjid Raya yang dibina pada tahun 1972 di tapak masjid lama yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Wilis dan sebuah masjid lama yang terletak di tengah bandar Tawau iaitu Masjid Bandar yang dibina pada tahun 1960.
 
Sebagai daerah yang mempunyai kepadatan penduduk beragama Islam yang tinggi, tidak hairan mengapa terdapat banyak masjid yang dibina di sekitar Bandar Tawau. Ketika ini, terdapat lebih kurang 20 buah masjid di sekitar Bandar Tawau yang hanya mengambil kurang 10 minit untuk sampai ke satu-satu masjid.
 
Sebagai daerah paling banyak penduduk Islam, Tawau mencatatkan jumlah pungutan zakat yang tertinggi di Sabah.




No comments:

Post a Comment