Sunday, 22 October 2023

FITNAH SEBABKAN BANYAK BENCANA

 
Berita yang berbentuk tuduhan melalui cerita, khabar atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan terhadap seeorang, keluarga atau kumpulan dipanggil fitnah. Perkataan fitnah berasal dari perkataan Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.
 
Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu. Natijah akibat perbuatan tersebut boleh tercetusnya persengketaan antara pihak yang dilibatkan dalam fitnah itu.   
 
Berita fitnah mendatangkan kesan amat buruk terutama dalam soal penting dan sensitif melibatkan individu berkedudukan, keselamatan negara dan soal agama. Di Malaysia yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa dan agama anutan, isu-isu berkaitan bangsa dan agama amat sensitif.
 
Banyak kerajaan yang tumbang disebabkan fitnah yang berleluasa. Kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 adalah berpunca daripada fitnah.
 
Pihak musuh menggunakan kaedah fitnah untuk melemahkan perpaduan sesama pemimpin, dan dalam keadaan itu maka dengan mudahnya tentera Portugis menyerang dan menakluk kerajaan yang dianggap paling kuat ketika itu. 
 
Justeru itu, masyarakat perlu dididik agar memastikan kebenaran sesuatu berita agar tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Setiap berita yang diterima perlu diperhalusi agar tidak terlibat dalam kancah berita berunsur fitnah. 
 
Sebarang berita yang diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.     
 
Banyak pihak yang turut terlibat menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kepentingan berkaitannya. Mereka tidak memperoleh apa-apa keuntungan jika menyebarkan kembali berita itu, dan tidak juga menanggung kerugian jika tidak melakukannya.
 
Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah telah menjadi kebiasaan, banyak orang yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Ada yang cepat-cepat menyebarkan berita yang diterima untuk membuktikan dia lebih awal mengetahui perkara itu berbanding rakan-rakan lain.
 
Kepuasan yang diharapkan itu sebenar sekadar satu perbuatan merugikan diri sendiri dan mungkin dikenakan tindakan undang-undang. Inilah dikatakan suka membawa duka akibat tidak memahami kesannya di sisi undang-undang.
 
Akibat buruk fitnah memberikan kesan yang sangat besar terutama kepada diri sendiri, keluarga, agama, masyarakat dan negara.

Kesan yang pertama ialah kepada individu. Nama baik dan air muka individu tersebut boleh tercemar dan tercalar apabila wujudnya fitnah yang dilemparkan terhadapnya dan boleh membawa keaiban. Hal ini menyebabkan wujudnya rasa kebencian dan permusuhan orang lain terhadap mangsa fitnah tersebut. Individu bukan sahaja berhadapan dengan cercaan dan pandangan serong malah reputasi dan kredibilitinya juga turut terjejas.

Kesan seterusnya ialah kepada keluarga. Perbuatan fitnah menyebabkan keluarga berada dalam situasi yang tidak tenteram, berantakan, timbul perasaan dendam dan mendorong ke arah pergaduhan serta pertelagahan. Lebih membimbangkan jika ianya berlarutan akan berlakunya kekasaran fizikal seperti pukul memukul hingga menyebabkan kematian.

Kesan yang lain ialah kepada agama. Sekiranya berlaku dalam kalangan umat Islam, maka penganut agama lain akan memandang serong dan hilang rasa hormat akan agama Allah SWT akibat perbuatan tersebut. Ini boleh mengakibatkan umat Islam akan dibuli, ditindas dan dipandang hina oleh mereka.

Fitnah turut memberi kesan kepada masyarakat. Kesan ini boleh merosakkan hubungan persaudaraan dan perpaduan. Apabila ukhuwah dan semangat persaudaraan luntur, maka lenyap dan runtuhlah kebahagiaan dan kemanisan hidup bermasyarakat. Akhirnya kehidupan masyarakat akan berlaku huru-hara dan porak peranda akibat permusuhan.

Kesan yang terakhir ialah kepada negara. Fitnah mampu mengancam keselamatan negara apabila nama baik negara terjejas. Fitnah yang tersebar mampu menyebabkan keseimbangan dan keselamatan negara tergugat lantas mencetuskan pergolakan. Apabila salah faham akibat fitnah timbul seperti timbulnya provokasi sentimen perkauman dan keagamaan, suasana yang genting boleh mencetuskan peperangan dan pertumpahan darah.

No comments:

Post a Comment