Tamparuli merupakan sebuah pekan kecil yang
terletak dalam daerah Tuaran, Sabah. Jaraknya dari Kota Kinabalu ialah
kira-kira 35 kilometer atau mengambil masa perjalanan kira-kira 40 minit.
Majoriti penduduknya adalah daripada suku kaum Kadazan Dusun.
Nama Tamparuli terkenal kerana adanya
Jambatan Gantung Tamparuli yang merentasi Sungai Tamparuli yang menjadi
sebahagian aliran Sungai Tuaran.
Jambatan Gantung Tamparuli menjadi mercu
tanda pekan Tamparuli. Lebih menarik lagi apabila ada sebuah lagu 'Jambatan
Tamparuli' yang dicipta oleh Justin Lusah.
Jambatan Gantung Tamparuli menjadi lokasi
'wajib singgah' bagi pelancong yang ingin menuju ke Kundasang dan Ranau,
seterusnya ke Sandakan, Semporna dan Tawau. Mereka akan mengambil peluang
melalui jambatan tersebut dan tentunya mengabadikan gambar kenangan. Ada tempat
letak kereta disediakan untuk kemudahan pengunjung.
Bagi mereka yang belum pernah pergi ke
Tamparuli, harus diingatkan Jambatan Gantung Tamparuli dan Jambatan Tamparuli
adalah dua objek yang berbeza.
Jambatan Gantung Tamparuli seperti namanya
adalah jambatan guntung yang dibina tergantung. Jambatan ini hanya untuk laluan
penjalan kaki dan lebih berfugsi sebagai tarikan pelancong untuk mengalami
pengalaman melalui jambatan gantung.
Manakala Jambatan Tamparuli konkrit berada
tidak jauh dari Jambatan Gantung Tamparuli yang berada lebih tinggi di atasnya.
Jambatan Tamparuli boleh dilalui pelbagai jenis kenderaan, termasuk kenderaan
berat.
Jambatan Tamparuli yang dikaitkan dengan kisah
lagenda gadis (sumandak) Dusun yang bernama Solungkoi, bukannya Jambatan
Gantung Tamparuli.
Banyak orang menyangka Solungkoi adalah
gadis yang dikorban untuk memastikan pembinaan Jambatan Gantung Tamparuli
berjalan lancar, sedangkan ia menjadi kisah lagenda berkaitan pembinaan
Jambatan Tamparuli.
Jambatan Gantung Tamparuli yang ada
sekarang adalah jambatan baharu dibina pada awal tahun 1999 selepas berlakunya
kejadian banjir luar biasa yang memusnahkan jambatan gantung lama.
Jambatan gantung yang baharu ini mempunyai
ukuran panjang lebih dari 100 meter dan direkodkan sebagai jambatan gantung
terpanjang di Sabah.
Baca juga:
Jambatan Gantung Tamparuli
Sejarah nama Tamparuli
Masjid Tamparuli, Sabah
Kisah tragis pembinaan Jambatan Tamparuli
No comments:
Post a Comment