Saturday, 1 April 2023

KISAH TRAGIS PEMBINAAN JAMBATAN TAMPARULI

 
Jambatan Tamparuli cukup terkenal di Sabah. Jambatan konkrit yang menyeberangi Sungai Tamparuli Tamparuli yang menjadi cabang kepada Sungai Tuaran itu menyimpan kisah lagenda yang amat tragis dan menyayat hati.
 
Jambatan Tamparuli mula dibina pada tahun 1930. Namun demikian, kerana arus sungai yang terlalu deras, jambatan ini sering roboh. Pihak British yang menjadi pemerintah pada masa itu membina semula jambatan ini pada tahun 1933. Pembinaan jambatan ini diketuai oleh seorang pegawai British yang bernama Robinson.
 
Menurut kisah lagenda, pada waktu itu, terdapat seorang gadis Dusun yang bernama Solungkoi di kawasan tersebut. Gadis atau sumandak tersebut diakui sebagai gadis perawan yang paling cantik pada masa itu. Robinson jatuh hati pada gadis tersebut dan menjadikan Solungkoi sebagai kekasihnya.
 
Namun demikian, sebelum kehadiran Robinson, orang suruhan Robinson juga menaruh perasaan terhadap Solungkoi. Pemuda tersebut bernama Intang. Walau bagaimanapun, cinta Intang ibarat bertepuk sebelah tangan apabila Solungkoi lebih menyukai Robinson.
 
Sebagai individu yang bertanggungjawab penuh terhadap pembinaan Jambatan Tamparuli, Robinson berasa buntu kerana jambatan tersebut sering runtuh walaupun telah dibina berkali-kali. Beliau memerlukan penyelesaian segera agar jambatan tersebut dapat kekal kukuh.  
 
Robinson kemudiannya bertanya kepada Intang bagaimana menjadikan jambatan tersebut kekal kukuh. Sebagai orang tempatan yang masih berpegang kepada kepercayaan lama, Intang lantas mendapatkan nasihat daripada Odu-Odu (wanita tua).
 
Semasa pertemuan dengan Odu-Odu, wanita tersebut memberitahu Intang bahawa pembinaan jambatan tersebut sering runtuh kerana ia membangkitkan kemarahan hantu air iaitu Tonduokar atau Tobuakar. Mereka kemudian mengadakan ritual untuk dipersembahkan kepada hantu air tersebut. Namun, pembinaan jambatan tetap gagal.
 
Odu-Odu yang tidak berpuas hati kemudian ‘berkomunikasi’ dengan hantu air tersebut untuk mendapatkan kepastian mengapa ritual tidak berhasil. Rupa-rupanya, hantu air tersebut menginginkan korban seorang gadis perawan yang paling cantik di Tamparuli.
 
Intang yang berdendam dengan hubungan Sulongkui dan Robinson menggunakan peluang ini untuk menghancurkan hubungan mereka. Khabar tentang korban itu segera diberitakan kepada Robinson. Intang menghasut Robinson agar menjadikan Solungkoi sebagai korban memandangkan kekasihnya itu merupakan gadis paling menawan di Tamparuli.
 
Robinson juga berada dalam dilema. Sama ada mengorbankan cinta hatinya atau memilih kerjayanya. Kerana termakan hasutan Intang, Robinson akhirnya nekad mengkhianati Solungkoi untuk dijadikan korban. Solungkoi kemudian diberi minum ‘tapai’ sehingga mabuk. Kaki dan tangannya diikat untuk upacara keramat itu.
 
Solungkoi akhirnya sedar bahawa dirinya akan dikorbankan. Kecewa dan marah dengan tindakan Robinson, Solungkoi sempat bersumpah bahawa jambatan Tamparuli tidak akan pernah kukuh selagi darah Robinson tidak mengalir di sungai tersebut.
 
Solungkoi yang tidak bersalah akhirnya ditanam hidup-hidup bersama salah satu besi cerucuk yang membenamnya ke dasar sungai. Raungan dan rintihan sumandak itu tidak dihiraukan Robinson mahupun penduduk kampung.
 
Selesai upacara tersebut, Robinson dikhabarkan menyesal dan tertekan dengan tindakan yang dilakukannya. Beliau akhirnya membunuh diri di jambatan tersebut. Sebelum membunuh diri, Robinson sempat mengukir nama ‘Solungkoi’ di atas sebuah plat besi. Lokasi plat besi tersebut dirahsiakan atas faktor keselamatan sehingga ke hari ini.

Demikianlah kisah legenda yang menyayat hati di sebalik Jambatan Tamparuli ini. Cerita rakyat ini bukan sahaja memberi pengajaran agar tidak berlaku kejam terhadap insan yang tidak bersalah tetapi juga sebagai salah satu warisan sejarah daerah Tamparuli sendiri.
 
Tamparuli merupakan sebuah pekan kecil yang terletak dalam daerah Tuaran, Sabah. Jaraknya dari Kota Kinabalu ialah kira-kira 35 kilometer atau mengambil masa perjalanan kira-kira 40 minit. Majoriti penduduknya adalah daripada suku kaum Kadazan Dusun.
Jambatan Tamparuli menjadi mercu tanda menarik di pekan Tamparuli. Lebih menarik lagi apabila ada sebuah lagu 'Jambatan Tamparuli' yang dicipta  oleh Justin Lusah.
 
Banyak pengunjung akan singgah bergambar kenang-kenangan di kawasan Jambatan Tamparuli. Malangnya, banyak orang keliru dengan Jambatan Tamparuli dan Jambatan Gantung Tamparuli. Banyak orang singgah bukan kerana Jambatan Tamparuli, tetapi Jambatan Gantung Tamparuli.
 
Bahkan, jika memperkatakan tentang kisah lagenda Solungkoi, lalu mereka kaitkan dengan Jambatan Gantung Tamparuli.
 
Bagi mereka yang belum pernah pergi ke Tamparuli, harus diingatkan Jambatan Gantung Tamparuli dan Jambatan Tamparuli adalah dua objek yang berbeza.
 
Jambatan Gantung Tamparuli seperti namanya adalah jambatan guntung yang dibina tergantung. Jambatan ini hanya untuk laluan penjalan kaki dan lebih berfugsi sebagai tarikan pelancong untuk mengalami pengalaman melalui jambatan gantung.
 
Manakala Jambatan Tamparuli konkrit berada tidak jauh dari Jambatan Gantung Tamparuli yang berada lebih tinggi di atasnya. Jambatan Tamparuli boleh dilalui pelbagai jenis kenderaan, termasuk kenderaan berat.
 
Jambatan Tamparuli yang dikaitkan dengan kisah lagenda gadis (sumandak) Dusun yang bernama Solungkoi, bukannya Jambatan Gantung Tamparuli.
 
Banyak orang menyangka Solungkoi adalah gadis yang dikorban untuk memastikan pembinaan Jambatan Gantung Tamparuli berjalan lancar, sedangkan ia menjadi kisah lagenda berkaitan pembinaan Jambatan Tamparuli.
 
Jambatan Gantung Tamparuli yang ada sekarang adalah jambatan baharu dibina pada awal tahun 1999 selepas berlakunya kejadian banjir luar biasa yang memusnahkan jambatan gantung lama.
 
Jambatan gantung yang baharu ini mempunyai ukuran panjang lebih dari 100 meter dan direkodkan sebagai jambatan gantung terpanjang di Sabah.

Gambar - Jambatan Tamparuli dibina pada tahun 1960

Baca juga:

Salah faham tentang Jambatan Gantung Tamparuli

No comments:

Post a Comment