Wednesday, 5 April 2023

MASJID UBUDIYYAH PEKAN TAMPARULI

 
Islam berkembang pesat di Sabah. Di mana-mana kawasan di seluruh negeri Sabah terdapat masjid yang bukan sahaja dijadikan tempat bersembahyang berjemaah, tetapi juga menjadi medan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan untuk kepentingan umat Islam dan penduduk setempat.
 
Salah satu masjid yang memainkan peranan besar kepada penduduk setempat ialah Masjid Ubudiyyah Pekan Tamparuli.
 
Tamparuli merupakan sebuah pekan dan daerah kecil yang terletak di daerah Tuaran. Jarak pekan Tamparuli ke bandar Kota Kinabalu adalah lebih kurang 36 kilometer, manakala dari pekan Tamparuli ke pekan Tuaran adalah 9 kilometer.
 
Tamparuli mempunyai sebuah pejabat daerah kecil sendiri untuk mengurus pentadbiran dan juga merupakan sebuah mukim di daerah Tuaran. 
 
Kebanyakan penduduk di sini berbangsa Kadazan-Dusun yang beragama Kristian (ada juga beragama Islam). Di samping itu, terdapat juga masyarakat berbangsa Cina dan Melayu. Dengan kata lain, majoriti penduduknya adalah Kristian.
 
Masjid Ubudiyyah terletak di tengah-tengah pekan Tamparuli. Ia menjadi mercu tanda kepada Pekan Tamparuli.
 
Masjid yang dibina pada 2001 itu menampilkan reka bentuk yang mesra pengunjung. Dibina dua tingkat, ruang yang tersedia memberi peluang untuk melakukan pelbagai aktiviti.
 
Di ruang bawah ada kawasan terbuka yang sesuai dilakukan pelbagai aktiviti. Jadi, mudah untuk diadakan sebarang bentuk aktiviti tanpa mengganggu ruang solat utama. Ruang bawah juga dijadikan tempat solat di kalangan musafir tanpa perlu naik ke tingkat atas. Di bahagian bawah juga disediakan kemudahan tandas, tempat ambil sembahyang, ruang makan dan untuk istirahat.
 
Ruang sembahyang utama terletak di bahagian atas yang juga digunakan untuk kelas agama dan aktiviti lebih formal.

Selain memberi kemudahan untuk penduduk setempat, masjid yang lebih dikenali Masjid Tamparuli ini menjadi lokasi persinggahan musafir untuk bersembahyang dan beristirahat seketika. 
 
Baca juga:

No comments:

Post a Comment