Nabi Muhammad SAW digelar pemimpin agung sepanjang zaman dan
paling sempurna akhlaknya yang tidak ada tolak banding.
Seluruh
cerdikawan, ahli agama, pemikir dan pemimpin sepanjang zaman, sama ada beragama
Islam atau kafir telah sepakat mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai The
Saviour of Humanity (Penyelamat Manusia Sejagat).
Lothrop Stoddard, seorang orientalis Barat dalam bukunya The
New World of Islam mencatatkan bahawa kebangkitan Islam yang dibawa oleh Nabi
Muhammad SAW adalah suatu perkara yang paling menakjubkan dalam sejarah
manusia.
Dalam menjalankan tugas kerasulan, Nabi Muhammad SAW tidak
terikat dengan mana-mana fahaman. Sebaliknya, baginda berdakwah berdasarkan
kepada wahyu daripada Allah SWT. Justeru, apa yang dilakukan adalah tepat dan
benar belaka kerana mendapat bimbingan terus daripada Allah
SWT.
Dengan kata lain, baginda bebas daripada ikatan mana-mana
pihak. Baginda tidak dipilih oleh mana-mana pihak untuk menjadi pemimpin,
sebaliknya baginda yang memimpin berdasarkan perintah Allah SWT.
Justeru, baginda tidak melalui sebarang proses pertandingan
untuk menjadi pemimpin. Jawatan baginda sebagai pemimpin manusia dianugerah
oleh Allah SWT.
Sebab itu, baginda bebas daripada sebarang sifat-sifat buruk
seperti biasa diamalkan mereka yang gilakan kuasa dan pangkat. Rasulullah juga
tidak mengamalkan sifat buruk yang biasa dikaitkan dengan pemimpin.
Sikap mewah, menyahgunakan kuasa dan tidak adil tidak ada
satupun tercatat dalam sirah Rasulullah SAW. Biarpun pihak musuh Islam cuba
mencipta satu gambaran buruk mengenai sikap kepimpinan Rasulullah SAW, perkara
itu tidak berjaya mempengaruhi pihak yang sedar mengenai kesempurnaan pekerti
baginda.
Semakin banyak cerita buruk direka-reka mengenai
keperibadian Rasulullah SAW, lebih banyak orang mengenai baginda sebagai
manusia yang sempurna sifat pekertinya. Malah ada yang memeluk Islam hasil
daripada mulanya perasaan benci akibat cerita buruk, tetapi berubah setelah
membuat penilaian dengan hati yang terbuka.
Paling penting, orang Islam sendiri perlu teguh pendirian
dalam mempertahankan Rasulullah SAW. Sebarang bentuk penyelewangan fakta
mengenai Rasulullah SAW perlu diperbetulkan.
Namun, usaha itu perlu dilakukan secara berhemah. Jangan
sekali-kali kita melakukan perbuatan yang tidak dianjurkan oleh Islam.
Pihak bukan Islam sengaja mencari jalan untuk memberi
tekanan dan melabelkan Islam sebagai agama keganasan dan mundur. Perkara ini
memerlukan jihad umat Islam untuk mengubah presepsi buruk masyarakat bukan
Islam terhadap Islam.

No comments:
Post a Comment