Mengapa ambo tidak menjadi ahli Pas? Pertamanya, kerana ambo
ahli UMNO. Perlembagaan UMNO tidak membenarkan ahlinya mempunyai keahlian
dengan mana-mana parti siasah lain. Jika, mendaftar dengan parti lain, maka
dengan automatik keahlian dalam UMNO akan terbatal. Ambo sayang kepada UMNO dan
akan terus menjadi ahlinya.
Sebab kedua ialah ambo tidak percaya dengan perjuangan Pas
untuk menegakkan Islam. Banyak perkara ditegah oleh Islam dilakukan dengan
terang-terang oleh pemimpin dan ahli Pas, termasuklah dalam mengkafirkan ahli
UMNO.
Perkara ini bukan main-main. Ia menjadi pengalaman kepada
ayah dan ambo sendiri apabila dikafirkan oleh ahli-ahli Pas di kampung ambo
iaitu Kampung Padang Bongor, Jalan Pengkalan Chepa, hanya kerana ayah ambo ahli
UMNO.
Ayah ambo Imam Tua Masjid Mukim Padang Bongor bermula
sekitar tahun 1965 sehinggalah tahun 1990. Dialah antara yang bertanggungjawab
memulakan proses membina Masjid Mukim Padang Bongor yang ada sekarang ini,
bersama-sama dengan ahli jawatankuasa lain dan penduduk kampung.
Semangat untuk membina masjid baharu memang tinggi. Mula
dibina sekitar tahun 1975. Memandangkan wang tidak cukup, penduduk
bergotong-royong hampir setiap minggu untuk menyiapkan tapak. Penduduk
mewakafkan harta dan tenaga untuk membinanya.
Untuk menampung sedikit perbelanjaan, maka dipohon
peruntukan dengan kerajaan Pusat. Masa
itu, Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah yang menjadi menteri kewangan
telah meluluskan sedikit peruntukan, rasanya RM20 ribu. Kira sudah besar pada
waktu itu. Anggaran kos keseluruahan pembinaan pada masa itu sekitar RM100 ribu.
Apabila kemuncak isu kafir mengafir berlaku, timbul dakwaan
bahawa masjid tersebut dibina menggunakan wang haram. Kononnya duit dari UMNO
yang dikira haram.
Ketika itu jugalah ayah ambo dituduh sebagai kafir. Tok
bilal meletak jawatan tanpa notis. Seterusnya wujud surau khas untuk tempat
sembahyang orang Pas kerana tidak mahu berimamkan ayah ambo yang dituduh
sebagai kafir.
Ketika itu suasana orang pergi bersembahayan berjemaah
memang nampak meriah. Satu di Masjid Mukim Padang Bongor dan satu lagi di surah
atau pusat operasi Pas. Diperhatikan, jumlah yang hadir di surau Pas lagi
banyak. Individu yang sebelum itu tidak nampak berjemaah, akan hadir berjemaah.
Disebabkan ayah ambo dituduh kafir, ada pasangan yang baharu
kahwin yang jurunikahnya ayah ambo, melakukan akad nikah sekali lagi. Mereka
hanya "berlakon" akan nikah dengan ayah ambo kerana hendak
mendaftarkan pernikahan. Selepas itu, untuk dianggap sah, dinikahkan semula
oleh bapa pengantin perempuan. Begitu dahsyat sekali perpecahan disebabkan
ketaasuban kepartian.
Kerana itu jugalah, ada gerakan atau usaha untuk memecat
ayah ambo sebagai imam tua. Menjadi dasar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat
Melayu Kelantan (MAIK), jika ahli kariah ingin menggantikan imam tua, maka
perlu ada penggantinya.
Lalu, beberapa nama dicadangkan dan dipanggil temu duga oleh
MAIK. Namun, calon itu tidak layak. Maka, kekallah ayah ambo sebagai imam tua.
Ditakdirkan ayah ambo diserang angin ahmar dan tidak mampu
melaksanakan tugas. Tugas imam dan baca khutbah terpaksa dilakukan oleh
adik-adik ambo. Sedangkan pengganti yang dilantik secara rasmi oleh MAIK tiada.
Perkara ini berlarutan beberapa tahun. Orang beriya-iya
hendak memecat ayah ambo tidak mampu mencari pengganti. Sepatutnya, ketika
itulah mereka bersungguh-sungguh mencari pengganti.
Disebabkan ayah ambo tidak lagi menjadi imam tua, maka
mereka tidak perlu bersusah payah untuk menjatuhkan ayah ambo. Tentang
penggantinya tidak perlu difikirkan lagi. Orang Padang Bongor sebenarnya tidak
berminat hendak menjadi imam tua pada ketika itu, sehingga terpaksa mencari
calon dari luar kawasan mukim.
Setakat ini dahulu. Cerita lain kali pula. Masih banyak
lagi.
Baca juga:
No comments:
Post a Comment