Sunday 10 September 2023

PILIH PEMIMPIN ADIL AMANAH CEKAP

 
Dalam sistem demokrasi dan pengasingan kuasa, pemerintah tidak mempunyai kuasa mutlak. Pembahagian kuasa membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang utama iaitu pemerintah, perundangan dan kehakiman.
 
Pemerintah menjalankan tanggungjawab melalui bidang kuasa yang diberikan menurut perlembagaan dan akta yang tentunya menetapkan batasan-batasan. Undang-undang dibuat oleh pemerintah melalui Parliman dan penguatkuasaan undang-undang pula diamanahkan kepada agensi tertentu yang akan memberi kuasa kepada hakim untuk memutuskkan apa-apa mengenainya.
 
Individu yang terlibat dalam ketiga-tiga cabang itu menanggung amanah yang besar. Justeru, pemilihan mereka untuk jawatan berkenaan perlu dilakukan dengan teliti. Rakyat atau dalam konteks demokrasi dipanggil pemilih berdaftar untuk maksud sesuatu pemilihan jawatan hendaklah membuat pilihan yang tepat berdasarkan kepada keyakinan bahawa yang dipilih itu mampu melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
 
Soal ini bukan perkara remah. Sebab itu ia dijelaskan dalam al-Quran tentang suruhan menyerahkan amanah kepada mereka yang layak.
 
Firman Allah SWT bermaksud:  “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa, ayat 58)
 
Pemilih boleh menilai sendiri kemampuan dan kebolehan calon yang menawarkan diri untuk menerima sesuatu jawatan. Dalam sistem pemerintahan berbentuk kolektif atau syura, kemampuan tidak hanya dinilai pada individu, tetapi juga kelompok, parti atau kumpulan.
 
Dalam melaksanakan tugas, perkara yang dinilai bukan sahaja kemahiran dan keberkesanan, tetapi juga keadilan dan kebenaran. Adil adalah melakukan apa yang hak dan mengelak penindasan dan kebencian.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil! Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maidah, ayat 8).
 
Dalam membuat pemilihan, seharusnya dilakukan dengan hati terbuka. Jauhi sikap taasub dan terikut-ikut. Setiap apa yang bakal dilakukan iindividu atau kelompok pemimpin akan turut dikongsi baik buruknya oleh individu yang membuat pilihan.
 
Kesan silap memilih memberi kesan yang berpanjangan. Membina mengambil masa yang panjang, sedangkan untuk meruntuhkan hanya mengambil masa yang sekejap.
 
Pilihlah saf kepimpinan yang diyakini dapat berlaku adil, amanah dan cekap.

No comments:

Post a Comment