Tuesday, 29 November 2016

KHASIAT HALIA BARA


Halia bara (Zingiber officinale var rubrum) kaya khasiat perubatan sering diguna atau pilihan dalam amalan tradisional Melayu dan Nusantara. Ia juga dipanggil halia merah, halia udang atau di Indonesia dikenali halia emprit. Kegunaan halia bara juga sebagai ramuan penting di dalam masakan yang menyedapkan rasa pada makanan.   

Halia bara memang agak sukar untuk dibezakan dengan halia biasa. Halia bara mempunyai saiz umbisi yang lebih kecil, berwarna kemerahan (merah tua) dan mempunyai bau yang lebih kuat. Mempunyai saiz daun lebih kecil dengan bahagian hujung yang meruncing.

Halia bara sama seperti pokok halia biasa yang mempunyai bentuk berumpun. Ketinggiannya antara 15-30 cm dari paras tanah bergantung kepada kesuburan tanah dan pengurusan tanaman. 

Batang halia keluar dari perdu pokok dan mempunyai batang yang sederhana lembut naik menegak ke atas dengan beberapa helai pelepah daun. Halia ini memiliki rizom bersaiz kecil daripada halia biasa dan berwarna kemerahan. 

Rizom berwarna merah dengan isi kekuningan dan memang terasa lebih pedas. Keunikan rasa pedas ini membezakan dengan halia biasa dan menjadikan ia amat sesuai digunakan oleh pengamal perubatan.

Penanaman halia bara lazimnya adalah daripada rizom yang telah matang dan sihat serta mempunyai mata tunas. Ia boleh ditanam di atas batas atau dalam pasu atau polibeg.

Antara khasiat halia bara adalah seperti kegunaanya di dalam mengubati penyakit kulit seperti panau dan kurap. Selain itu khasiatnya adalah seperti ia mampu juga menghilangkan tompok-tompok panau dengan mujarab.

Halia bara juga mampu menghilangkan kelumumur pada rambut serta merawat untuk menghilangkan rasa sengal-sengal otot serta sendi urat saraf.

Halia bara juga didapati dapat menghilangkan batuk, meredakan demam malaria, didakwa dapat membantu menghilangkan masaalah penyakit gout dan juga merawat penyakit resdung. Ia juga mampu meningkatkan kekuatan tenaga batin lelaki. 

Dalam temuan lain dinyatakan bahawa halia bara mampu melembutkan perut serta membantu di dalam proses penghadaman makanan.

Seperti air minuman halia, minuman halia bara juga mampu mengeluarkan angin dari dalam tubuh setelah meminumnya seperti 'air sarbat halia bara'.

Ramai penduduk kampung dan orang asli yang menggunakan halia bara untuk merawat kesan gatal gigitan serangga. Selain itu ia melegakan demam dan kadang-kadang digunakan sebagai bahan untuk rawatan ibu selepas bersalin.

Khasiat halia bara adalah seperti berikut:
- Melembutkan perut
- Membantu penghadaman makanan
- Mengeluarkan angin dari dalam tubuh
- Merawat kesan gatal gigitan serangga
- Melegakan demam
- Merawat resdung
- Mengurangkan sengal-sengal sendi
- Tenaga batin
- Rawatan Selepas Bersalin

No comments:

Post a Comment