Thursday 5 September 2024

GUNUNG FUJI WARISAN BUDAYA DUNIA

 
Kata seorang pelancong ke Tokyo mengungkapkan kata di akaun FBnya: “Cukup syarat datang Tokyo Japan bila dah sampai Gunung Fuji.” Dikatakan sudah sampai Gunung Fuji ialah dapat melihat dan dapat bergambar dengan berlatar belakang Gunung Fuji pun sudah cukup. 

Gunung Fuji atau Fujiyama adalah gunung tertinggi di Jepun. Ia terletak di sempadan Prefektur Shizuoka dan Yamanashi di sebelah barat Tokyo. Gunung Fuji mempunyai ketinggian 3776.12 meter dari aras laut. Dengan ketinggian tersebut, Gunung Fuji boleh dilihat dari jarak berpuluh-puluh kilometer dalam keadaan cuaca yang elok.
 
Ketinggian Gunung Fuji sebenarnya kurang 319 meter lebih rendah berbanding Gunung Kinabalu di Sabah yang berketinggian 4,095 meter.
 
Gunung Fuji terletak berhampiran perairan Pasifik di pusat Honshu dengandikelilingi oleh tiga kota, iaitu Gotemba (timur), Fuji-Yoshida (utara) dan Fijinomiya (barat daya).
 
Gunung Fuji adalah simbol Jepun yang terkenal dan sering digambarkan dalam karya seni dan gambar,  serta dikunjungi pendaki gunung mahupun pelancong. Gunung Fuji diiktiraf sebagai Warisan Budaya Dunia pada tahun 2013.
 
Gunung Fuji dianggarkan terbentuk sekitar 10,000 tahun yang lalu. Gunung Fiji sebenarnya dikategorikan sebagai gunung berapi yang masih aktif walaupun kemungkinan berlaku letusan amat rendah. Kali terakhir gunung itu meletus pada tahun 1707.
 
Lebih kurang 200,000 orang mendaki Gunung Fuji setiap tahun dan 30 peratus pendaki adalah orang asing. Waktu yang paling popular bagi para pendaki adalah dari 1 Julai hingga 27 Ogos, iaitu ketika musim panas. Pendakian boleh memakan masa dari 3 hingga 7 jam sementara penurunan gunung mencapai sekitar 2 hingga 5 jam.
 
Pendakian dibenarkan sepanjang tahun. Namun, pada musim sejuk para pendaki mestilah bersiap sedia dengan semua peralatan mendaki yang bersesuaian agar tiada kecelakaan berlaku.
 
Sebagaimana Gunung Kinabalu, Gunung Fuji juga mempunyai mitos tersendiri di kalangan penduduk yang tinggal berhampirannya. Ia merupakan objek pemujaan gunung sejak zaman purba. Pemujaan itu dikenali sebagai Pemujaan Gunung Fuji (Fuji Shinko) di mana Gunung Fuji dipercayai mempunyai Tuhan. Gunung Fuji dianggap sebagai tempat suci, dan mengikut tradisi perempuan tidak dibenarkan mendakinya hingga era Meiji.
 
Rupa Gunung Fuji berubah bergantung pada tempat, sudut, musim dan waktu di mana kita melihatnya. Terdapat beberapa ungkapan yang menggambarkan rupa bentuk Gunung Fuji yang berbeza-beza. Cerminan songsang Gunung Fuji pada permukaan air dipanggil sebagai Gunung Fuji Songsang (Sakasa-Fuji). Wang kertas 1000 yen Jepun yang dikeluarkan pada tahun 2004 menggunakan Gunung Fuji Songsang yang tercermin pada Tasik Motosu.
 
Selain itu, ketika matahari terbit atau terbenam, ia bertindih dengan puncak Gunung Fuji dan menyebakan sebahagian tempat berhampiran puncak gunung bersinar seperti berlian. Fenomena ini yang dikenali sebagai Fuji Berlian (Daiyamondo-Fuji). Fenomena tersebut dapat dilihat dua kali setahun dari tempat barat atau timur Gunung Fuji.

No comments:

Post a Comment