Tuesday, 29 November 2016

MENGAPA ISTERI TERGAMAK MENGAKU BERZINA

Isteri mengaku berzina dengan lelaki Negro. Satu pengalaman paling indah dalam hidup dan tidak mungkin dilupakan seumur hidup. Peristiwa berlaku ketika berkursus di luar negara. 

Itu tajuk dan intro kepada dan tulisan di sebuah blog. Mengapa perkara itu terjadi?  Tentu sekali kerana desakan nafsu dan kurang iman. 

Banyak orang memilih jalan salah dalam memenuhi tuntutan seks. Banyak pasangan yang tidak mempunyai ikatan halal, yakni bukan suami isteri, melakukan hubungan seks tanpa merasa bersalah atau berdosa.   

Perbuatan menyamai sikap haiwan itu bukan setakat melibatkan golongan bawahan, bahkan individu yang punyai kedudukan dan terkenal. Mereka terpangaruh dengan cara atau amalan masyarakat di Barat yang berbangga memperkenalkan pasangan bersekedudukan dan menjadikan bahan seks untuk meraih populariti. 

Perbuatan zina diharamkan kerana ia perbuatan keji melanggar ketetapan agama.  Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (Surah al-Israk, ayat 32).

Biarpun zina dilakukan dengan kerelaan pasangan terlibat, ia adalah ‘jenayah’. Hukuman terhadap penzina perlu dilaksanakan di dunia seperti kesalahan membunuh, mencuri dan perogol, sebagai pengajaran kepada semua terutama mereka mempunyai keinginan melakukannya. 

Golongan yang menjadikan seks perkara mudah berpunca lemahnya iman dan takwa. Mereka mudah dipengaruhi oleh syaitan yang amat bijak memperdaya manusia melakukan kejahatan  melibatkan nafsu seks.

Pergaulan bebas dan ditambah pula dipengaruhi oleh dadah, arak dan bahan memamparkan unsur seks seperti buku, filem, gambar dan aksi lucah mendorong seseorang melakukan zina. 

Justeru, Islam menggariskan batasan hubungan di antara lelaki dan perempuan agar tidak mudah diperdaya oleh syaitan. Lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan tidak dibenarkan berada berdua-dua di tempat terlindungan pandangan daripada orang ramai. 

Rasulullah SAW mengingatkan perkara tersebut melalui sabda bermaksud: “Jangan sekali seorang lelaki bersama-sama dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana yang ketiganya adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya.”  (Hadis riwayat Ahmad).

Ideologi Barat mengatakan hal berkaitan seks perlu ditentukan sendiri oleh individu tanpa sekatan dan kongkongan adat atau agama tidak boleh diterima. Hakikatnya, apa yang didakwa itu adalah satu penyimpangan keperluan manusia sendiri.  

Golongan melakukan seks bebas mendakwa hubungan seks hak mutlak seseorang seperti hak asasi berkaitan perkara lain. Maka kebebasan itu tidak boleh dihalang oleh sesiapa, termasuk ibu bapa terhadap anak gadisnya. 

Amalan itu difikirkan dapat mengatasi masalah sekatan seks yang didakwa punca berlaku rogol. Namun, hakikatnya masalah itu tidak dapat diselesaikan. Di Barat kes rogol dan penderaan seks tetap berleluasa. Nilai moral dan batasan kemanusiaan tidak lagi menjadi perkara penting di Barat. 

Jalan terbaik menyelesaikan apa-apa berkaitan seks ialah melalui cara ditetapkan syariat iaitu perkahwinan. Institusi perkahwinan bukan sahaja membolehkan lelaki dan perempuan menjalani hubungan seks secara halal, tetapi banyak rahsia kebaikan di sebaliknya. 

Malang sekali, mereka yang sudah berkahwin juga terjebak dengan perbuatan zina. Inilah disebabkan cara hidup yang hanya mementingkan nafsu tanpa memikirkan dosa pahala. 

No comments:

Post a Comment