Friday, 25 November 2022

APABILA KESEDARAN MENGETUK PINTU HATI

  
Hidup kita diwarnai dengan jalur kehidupan yang berbeza-beza antara satu sama lain. Hargai apa yang kita miliki tanpa perlu membanding-bandingkan dengan apa dimiliki atau dialami orang lain.
 
Pun begitu, perjalanan hidup semua orang menuju ke arah yang sama, iaitu mati. Kita perlu bersedia untuk menghadapinya sama ada suka atau tidak. Mati itu pasti.
 
Apabila sampai masa kesedaran mengetuk pintu hati kita, tandanya sapaan Allah kepada kita untuk mengajak kita kembali kepada Dia, kembali kepada fitrah dan bersedia untuk balik ke kampung akhirat dalam keadaan diredaiNya.
 
Semua salah kita kepada Allah, mohonlah ampun dan taubat, dengan keazaman untuk tidak melakukan dosa yang sama lagi, menyesal akan dosa dan kelalaian tersebut dan meninggalkan serta merta tanpa soal.
 
Satu contoh klasik yang pernah berlaku dalam sirah, satu uswah untuk kita ambil sebagai satu sunah dan kaedah dalam berusaha mengikut perintah Allah.
 
Apabila turun ayat Al Quran tentang pengharaman arak pada tahun ke-15 kenabian (tahun ke-2 Hijrah), dengan linangan air mata, semua sahabat Nabi SAW pada ketika itu, memecahkan semua tempayan arak di rumah masing-masing dan bersungguh-sungguh menyesal serta tidak lagi menyentuhnya.
 
Sahabat-sahabat Nabi, semuanya patuh kepada perintah Ilahi, tanpa soal dan tanpa pertimbangan kedua, pada saat dan ketika itu juga, mereka meninggalkan apa yang dilarang.

No comments:

Post a Comment