Thursday, 10 November 2022

DI KELANTAN TIADA PANGGUNG WAYANG

  
Di Kelantan tiada pawagam (2026). Dahulunya di Kelantan juga ada pawagam. Di Kota Bharu ada empat buah pawagam terkenal ialah Lido, Odeon, Rani dan Rex. Kesemua pawagam ini telah ditamatkan operasi. 
 
Pawagam di Kelantan lebih dikenali panggung. Maka nama pawagam di Kelantan dikenali Panggung Lido, Panggung Odeon, Panggung Rex, Panggung Meena dan Penggung Rani. 

Itu nama-nama panggung yang pernah menggamit kenangan peminat wayang di Kelantan. Di bandar lain pun ada penggung seperti di Selising (Pasir Putih), Tumpat dan Pasir Mas. 
 
Pawagam di Kelantan mula tidak mendapat sambutan setelah PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990. Sebenarnya, tidak berlaku arahan untuk menutup operasi panggung-panggung itu, namun ia ditutup satu demi satu disebabkan tiada sambutan. 
 
Antara punca kurang sambutan ialah disebabkan ‘tekanan’ berterusan pihak kerajaan dan penyokong parti yang menggambarkan menonton filem di panggung seperti satu "dosa" dan perkara yang perlu dijauhi. 
 
Keadaan ini sebenarnya berlaku disebabkan wujud amalan tidak sihat di dalam pawagam melibatkan pasangan kekasih. Mereka pergi bukan tengok wayang, tetapi buat wayang. 
 
Biarpun perbuatan itu hanya dilakukan sebilangan kecil penonton, namun imej buruknya terpalit kepada semua orang sehingga sesiapa yang ingin menonton wayang dianggap ingin pergi buat maksiat. 

Imej tersebut, sedikit sebanyak menyebabkan orang tidak berminat untuk pergi ke pawagam. Tambahan pula ketika itu semakin banyak sumber hiburan melalui televisyen dan pita video mula terdapat di rumah-rumah.  
 
Satu demi satu panggung di Kelantan ditamatkan operasi. Tapak panggung digantikan dengan bangunan baru. Tapak Panggung Odeon kini menjadi tapak bangunan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Panggung Rani (pernah dijadikan tapak pasar raya, tetapi kini tempat urus niaga saham), Panggung Rex (Bangunan TNB) dan Panggung Lido kini menjadi tapak bangunan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. 
 
Panggung Lido merupakan panggung terakhir beroperasi di Kota Bharu sehingga sekitar tahun 1996. Selepas itu ada panggung mini beroperasi di Bazar Buluh Kubu, namun tidak bertahan lama. 
 
Sekitar tahun 2016, heboh sebuah panggung wayang bakal dibina dan beroperasi di Kelantan, namun rancangan itu berkubur tanpa diteruskan apabila Pemuda Pas Kelantan membantah. 
 
Justeru, Kelantan harus kekal dengan keadaan tidak memerlukan sebuah pawagam untuk golongan muda. Pawagam dikhuatiri boleh mengundang pelbagai masalah dan menyumbang kepada masalah sosial yang semakin berleluasa. 
 
Ketiadaan panggung wayang di negeri itu menyebabkan rakyat Kelantan terpaksa ke Terengganu atau ke Lembah Klang untuk menonton filem pecah panggung.

Kredit pemilik gambar

No comments:

Post a Comment