Satu
kelaziman pada Hari Raya Aidilfitri, umat Islam di Malaysia akan berpusu-pusu
memenuhi tanah-tanah perkuburan untuk menziarah kubur ahli keluarga mereka.
Sesetengah
tanah perkuburan berubah menjadi seperti kawasan perayaan yang dipenuhi sanak
saudara sehingga ada ada pihak mengambil kesempatan menjual makanan dan
minuman. Tempat pakir kenderaan tidak mencukupi dan terpaksa diletakkan jauh.
Ada
keluarga yang menjadikan amalan ziarah tanah perkuburan pada hari Aidilfitri
sebagai 'wajib' kepada setiap ahli keluarga. Selain membaca surah Yasin dan doa
untuk disedekahkan pahalanya kepada arwah, kawasan tapak kubur turut
dibersihkan. Ada yang pasang khemah kecil untuk berteduh. Mereka turut membawa
air mawar atau wangian untuk disiram di atas kubur.
Hakikatnya,
amalan itu tidak diamalkan Rasulullah SAW. Tidak wujud satu hadis pun yang
sabit mengenainya. Dengan kata lain, perbuatan mengkhususkan Aidilfitri sebagai
hari ziarah kubur tidak bersumberkan dari ajaran Rasulullah SAW.
Amalan
itu juga tidak diamalkan oleh para sahabat, tabiin, tabit tabin mahupun
golongan salaf. Ia juga tidak diamalkan di negara-negara Arab. Amalan ini dikesan
hanya dilakukan umat Islam di Nusantara.
Di
setiap tempat mempunyai 'acara' di kubur yang berbeza. Malah ada yang membuat
jamuan di kawasan kubur. Secara tuntasnya, apa yang dilakukan lebih bersifat
ritual iaitu amalan turun temurun yang dikaitkan dengan agama.
Sikap
yang terlalu menekankan ziarah kubur ditakuti terpengaruh dengan amalan
penganut agama lain yang mengaitkan 'wajib' melakukan sembah roh ibu bapa dan
nenek moyang untuk memohon restu dan mendapat kehidupan yang baik.
Ada
hari atau acara khusus untuk ziarah kubur ahli keluarga serta amalan tertentu
dilakukan oleh penganut agama atau kepercayaan bukan Islam.
Contohnya,
orang Cina biasanya melawat ke kubur nenek moyang pada hari ‘qingming’ untuk
memperingatkan jasa dan memberi hormat kepada mereka yang sudah meninggal
dunia.
Hari
melawat ke kubur boleh dijalankan dalam tempoh 2 minggu sebelum dan selepas
hari ‘qingming’. Pada hari melawat ke kubur yang telah ditetapkan, seisi
keluarga akan pergi bersama-sama dengan membawa cangkul, penyapu lidi, cat
merah dan berus kecil, mercun, nanas, telur itik rebus dan makanan serta
minuman yang disukai oleh si mati.
Sebaik
sahaja sampai ke kubur nenek moyang, lalang yang tumbuh pada kubur mesti
dicangkul dan dibersihkan. Selepas itu, perkataan yang terukir pada batu nisan
dicat semula jika sudah luntur warnanya.
Mengapakah
di kalangan penceramah dan guru agama menggalakkan agar dilakukan amalan
tersebut jika ia bukan dari sunah Rasulullah SAW? Banyak lagi amalan yang sepatutnya diutamakan
pada hari Aidilfitri.
Memang
terdapat suruhan Rasulullah SAW agar orang Islam melawat kawasan perkuburan
untuk melahirkan rasa keinsafan dan mengingati kematian yang pasti dialami oleh
setiap individu.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: "Maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu
mengingatkan kita kepada kematian." (Hadis riwayat Muslim)
Namun,
tidak pula dijelaskan amalan ziarah kubur itu perlu dilakukan pada hari
sambutan Aidilfitri. Begitu juga tidak ada perintah agar membaca Yasin atau
mana-mana surah di kubur.
Satu
lagi persoalan, mengapa hanya pada Aidilfitri dan tidak pada Aidiladha,
sedangkan kedua-duanya hari perayaan dalam Islam? Hanya pada hari Aidilfitrikah
kita mengingati dan mendoakan kebaikan kepada ibu bapa dan kaum keluarga yang
telah meninggalkan kita?
No comments:
Post a Comment