Saturday, 6 March 2021

Mengapa UMNO tidak bersama BERSATU

 
Keputusan UMNO tidak mahu berkerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan perkara baharu. Ini bukan bukan soal tidak puashati atau kecewa ‘kluster mahkamah’ tidak dilepaskan dan tidak dilantik Presiden UMNO menjadi Timbalan Perdana Menteri. 
 
UMNO konsisten dengan keputusan awal iaitu kerjasama dengan Bersatu hanya atas dasar untuk membentuk kerajaan peringkat Pusat setelah gagal mencari calon yang mendapat majoriti untuk dilantik menjadi Perdana Menteri. 
 
UMNO mengambil langkah bijak dan berjiwa besar untuk menerima Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan krisis kepimpinan negara akibat perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamed. 
 
Dan, UMNO bersedia mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubar. 
 
UMNO tidak mahu bersama Bersatu dalam PRU15 adalah keputusan ahli dan pemimpin di akar umbi. Perkara ini adalah asas penting yang diambil kira oleh Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT). 
 
Pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi kekal setia bersama UMNO biarpun setelah kehilangan kuasa memerintah negara. Mereka tidak seperti sesetengah bekas pemimpin UMNO yang terus meninggalkan parti dan mengkhianati sokongan ahli yang memenangkan mereka dalam PRU14 lalu.

No comments:

Post a Comment