Wednesday 5 April 2023

SEJARAH NAMA PEKAN TAMPARULI, SABAH

 
Tamparuli merupakan sebuah pekan dan daerah kecil yang terletak di daerah Tuaran, Sabah. Tamparuli mempunyai sebuah pejabat daerah kecil sendiri untuk mengurus pentadbiran dan juga merupakan sebuah mukim di daerah Tuaran. Kebanyakan penduduk di sini berbangsa Kadazan-Dusun. Di samping itu, terdapat juga masyarakat berbangsa Cina dan Melayu.
 
Jarak pekan Tamparuli ke bandar Kota Kinabalu adalah lebih kurang 36 kilometer, manakala jarak pekan Tamparuli ke pekan Tuaran adalah 9 kilometer.
 
Tamparuli terkenal dengan daya tarikannya iaitu mempunyai jambatan gantung terpanjang, dengan terciptanya lagu Jambatan Tamparuli, yang kini menjadi lagu kegemaran bagi kaum Kadazan Dusun. Lirik asal lagu Jambatan Tamparuli dicipta oleh Justin Lusah iaitu penyanyi tempatan yang terkenal di Sabah.
 
Asal-usul nama ‘Tamparuli’ mempunyai versi yang berbeza daripada pelbagai cerita masyarakat setempat. Versi asal yang paling popular ialah pekan Tamparuli dinamakan sempena jambatan sementara yang dibina bagi menggantikan jambatan yang rosak.
 
Ketika bertemu dengan penduduk, pegawai Inggeris yang terlibat dalam pembinaan tersebut memberitahu kepada penduduk bahawa jambatan itu hanya “temporary” (sementara). Perkataan “temporary” itu sering diucapkan penduduk di kawasan berkenaan sehingga ia kemudiannya menjadi sebutan “tamparuli”.
 
Versi kedua, semasa pendudukan Jepun di Sabah pada tahun 1942 hingga tahun 1944. Pada masa itu, kawasan Tamparuli telah digunakan oleh tentera Jepun sebagai pangkalan untuk kenderaan berat seperti lori trak. Kemudian, penduduk setempat memanggil kawasan tersebut dikenali sebagai Tempat Lori sehinggalah ia dinamakan Tamparuli.
 
Menurut sumber lain, pekan Tamparuli juga mendapat nama dari perkataan yang dikenali sebagai ditampar oleh air dan, nama ini berasal dari perkataan Brunei, iaitu pedagang dari Brunei yang datang ke Tamparuli mempunyai masalah untuk naik ke hulu kerana aliran air sungai yang deras. Ayat ditampar oleh air seterusnya dijadikan nama Tamparuli.
 
Pekan Tamparuli pada asalnya dikenali sebagai Bontoi (sebenarnya merujuk kepada sebuah kampung kecil di kawasan itu) dan, Bontoi nama kampung bermaksud sebuah jambatan yang dipercayai telah wujud lebih daripada 200 tahun yang lalu sebelum disebut Tamparuli.
 
Dari sebuah kampung kecil, Tamparuli kemudian berkembang menjadi sebuah pekan. Perubahan itu berlaku selepas beberapa peniaga dari luar, terutamanya di kalangan orang Cina dari Tuaran telah menubuhkan beberapa kedai kayu kecil pada tahun 1930-an.
 
Pekan Tamparuli dipercayai telah ditubuhkan dan dibangunkan di kawasan bekas tapak ladang getah oleh sekumpulan keluarga Cina sekitar tahun 1920-an sehingga 1930-an.
 
Pekan itu juga dibina di tepi seberang sungai berhampiran dengan tempat yang disebut Bontoi dan menjadi lokasi tempat letak lori pada waktu malam semasa pendudukan Jepun. Semasa pendudukan orang Inggeris, bangunan rumah kedai kayu terawal di pekan Tamparuli dibina pada tahun 1946, setahun selepas Perang Dunia Kedua. Rumah kedai bersejarah Tamparuli yang ditulis pada bahagian konkrit dipercayai telah siap pada 5 September 1954.
 
Baca juga:

No comments:

Post a Comment