Monday, 8 August 2022

JAMBATAN GANTUNG SULTAN ISMAIL KUALA KRAI

  
Sesuatu yang mempunyai nilai sejarah wajar dipelihara atau diselia dengan bersistematik secara berterusan agar sentiasa dalam keadaan baik dan menarik. Di negara maju, bahan bersejarah yang berusia ratusan bahkan ribuan tahun mendapat perhatian pihak berkuasa dan masyarakat sebagai khazanah yang berharga. 
 
Sudah menjadi sifat semula jadi manusia berminat mengetahui sesuatu yang berunsur sejarah. Ini kerana manusia berminat mengetahui cara hidup masyarakat terdulu atau sesuatu yang berlainan dengan apa yang ada sekarang. 
 
Sebab itu, manusia sanggup merantau jauh dan menghabiskan belanja yang besar semata-mata ingin melihat apa yang dianggap istimewa dan memberi pengajaran. Justeru, tarikan utama pelancong ke negara maju bukan semata-mata ingin melihat dan menikmati kehidupan moden, tetapi juga tempat-tempat bersejarah yang terjaga rapi di negara itu. 
 
Malangnya, sikap demikian kurang dihayati oleh masyarakat kita. Banyak tinggalan sejarah yang sepatutnya mendapat penjagaan sewajarnya tidak dilakukan. Contohnya, Jambatan Gantung Sultan Ismail yang merentangi Sungai Nal, kira-kira 9 kilometer dari bandar Kuala Krai. 
 
Jambatan atau disebut dalam dialek Kelantan Gertak Gantung Sultan Ismail dibina merentangi Sungai Nal menghubungkan jalan raya dari Machang ke Kuala Krai oleh pihak British. Struktur binaannya seperti jambatan gantung yang banyak terdapat di negara-negara Eropah. 
 
Jambatan Gantung Sultan Ismail adalah satu-satunya jambatan gantung di Kelantan. Ia dibuka dengan rasminya pada 19 April 1932 oleh Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad Keempat. Gertak itu terletak di Kilometer 9, Jalan Kuala Krai - Machang. 
 
Pembinaan Jambatan Gantung Sultan Ismail dilihat oleh pihak Inggeris yang menjajah negara kita pada ketika itu sebagai amat penting. Ini memandangkan bandar Kuala Krai dianggap antara bandar yang terpenting di Kelantan Selatan ketika itu. Pihak Inggeris lebih memberi perhatian kepada Kelantan Selantan kerana kaya dengan hasil bumi seperti emas dan hasil pertanian. 
 
Kuala Krai menjadi pusat mengumpulkan hasil dari Kelantan Selatan melalui sungai, sebelum dibawa ke Kota Bharu dan daerah lain seluruh Kelantan melalui jalan darat. Terdapat beberapa buah syarikat besar dari Britain beroperasi di Hulu Kelantan.   
 
Pembinaan Tangga Krai bagi memudahkan pemunggahan barang dari bot ke darat di tebing Sungai Kelantan berhampiran bandar Kuala Krai membuktikan pentingnya bandar itu sebagai pusat pengumpulan hasil seperti rotan, getah dan emas yang diperoleh di Hulu Kelantan.  
 
Jambatan ini sepanjang 21.3 meter dan lebarnya 6.1 meter yang membolehkan ia digunakan dua hala. Ia dipanggil jambatan gantung kerana struktur bawahnya digantung oleh dua utas tali besi keluli yang begitu teguh di kiri dan kanannya. 
 
Tali besi itu berukuran sebesar 30.48 sentimeter ukurlilit dipintal pula dengan enam utas tali besi kecil yang mempelihatkan ia seperti dipintal sepenuhnya. Tali itu ditambat kepada struktur konkrit setebal 1.2 meter pada ketinggian 3.7 meter. 
 
Ketika Perang Dunia Kedua, gertak ini bernasib baik tidak menjadi mangsa letupan bom ketika Inggeris berundur semasa serangan Jepun ke Tanah Melayu. Dalam usaha melenggahkan kemaraan tentera Jepun, pihak British akan meletupkan jambatan yang menghubungkan sesuatu kawasan. 
 
Penduduk kampung menjadikan bahagian bawah jambatan sebagai tempat perlindungan ketika kemaraan tentera Jepun. 
 
Ketika Rancangan Malaysia Keempat (RMK 4), kerajaan Pusat menaikkan taraf jalan di kawasan itu untuk keselesaan pengguna. Ini menyaksikan sebuah jambatan baru yang lebih lebar dan konkrit sepenuhnya dibina di sebelah kanannya (dari laluan Machang). 
 
Apabila laluan baharu itu siap, maka Jambatan Gantung Sultan Ismail ditutup untuk lalu lintas dan seterusnya terbiar begitu sahaja. 
 
Jambatan Gantung Sultan Ismail wajar dijaga dan diselia sebagai bahan sejarah. Jangan biarkan ia terbiar dan tidak memberi apa-apa erti.

No comments:

Post a Comment