Setiap
negara merdeka dan berdaulat mempunyai bendera. Bendera menjadi lambang kemegahan setiap rakyat yang cintakan negara. Kita dapat mengenali
sesebuah negara berdasarkan benderanya.
Bendera
dikaitkan dengan semangat dan kecintaan terhadap negara. Sebab itu, bendera
atau panji-panji dibawa dalam peperangan pada zaman dahulu.
Bendera
dibawa oleh tentera paling gagah dan berada di bahagian depan
pertempuran.
Jika
sekiranya pembawa bendera maut atau tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab
itu, maka cepat-cepat akan diambil oleh tentera lain.
Ketiadaan
bendera boleh dianggap bahawa pasukan itu telah kalah. Sebab itu, usaha
menyelamatkan bendera daripada dirampas oleh musuh adalah sesuatu yang wajib
dilakukan dalam pertempuran.
Antara
kisah yang sangat masyhur pemegang panji ialah kisah saudara kandung kepada Ali
bin Abi Talib, iaitu Jaafar bin Abi Talib yang juga digelar sebagai At-Thoyar
(yang memiliki dua pasang sayap).
Kisahnya
yang cukup terkenal berlaku di dalam Perang Mutah melawan tentera Rom yang
beratus kali ganda jumlahnya berbanding tentera Islam. Di dalam perang inilah,
tiga orang sahabat besar telah menemui syahid iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar
bin Abi Talib dan Abdullah bin Rowahah.
Pada
peperangan tersebut Jaafar mempertahankan panji Islam dengan
bersungguh-sungguh. Beliau memastikan agar panji tersebut tidak terjatuh ke
atas tanah dan dihenyak oleh pihak musuh.
Namun,
serangan musuh datang bertalu-talu sehingga akhirnya kedua-dua belah tangan
milik Jaafar telah terputus akibat dilibas dengan pedang orang Rom. Bendera itu cuba dikepit di bawah ketiaknya, sebelum dia jatuh dan bendera itu diambil oleh tentera lain. Begitulah, besar sekali peranan panji itu di
dalam peperangan.
No comments:
Post a Comment