Friday, 23 July 2021

PUNCA KONFLIK DALAM RUMAH TANGGA

 
Banyak pasangan berdepan konflik rumah tangga. Mahligai kehidupan yang dibina runtuh akibat gagal selesai konflik dihadapi.

Antara punca berlaku konflik rumah tangga ialah:

Bukan pasangan pilihan. Banyak kes perkahwinan diatur sepenuhnya oleh keluarga. Pasangan tidak berpeluang untuk menyatakan pendapat atau persetujuan.

Dengan kata lain, mereka berkahwin tanpa perasaan cinta, namun demi untuk mengembirakan keluarga. 

Perkahwinan atas dasar bukan pilihan sendiri mendedahkan kepada beberapa kesan.

Tidak kenal hati budi pasangan. Keadaan ini mewujudkan satu keadaana tidak serasi dan sukar untuk menerima kelemahan pasangan.

Maka, keadaan ini akan mewujudkan konflik yang berterusan biarpun berpunca perkara kecil. 
 
Sudah ada pasangan pilihan sendiri.  Keadaan ini berterusan mengganggu usaha untuk menjalin perasaan kasih sayang di antara suami isteri. Suami atau isteri atau kedua-duanya sudah ada pilihan masing-masing.

Tidak sekufu. Dalam Islam istilah sekufu bermaksud sama taraf dalam soal kekayaan, pendidikan, umur, kecantikan dan kedudukan.

Pasangan tidak sekufu berdepan beberapa masalah yang boleh mendatangkan konflik rumah tangga.  

Masa bercinta memang mereka sanggup menerima apa saja kekurangan pasangan dan keluarga. 

Namun, perkara menjadi berubah apabila hidup bersama. Contohnya, suami yang miskin sukar untuk memenuhi kehendak kewangan isteri dari kalangan keluarga kaya.

Taraf pendidikan yang jauh berbeza. Apabila taraf pemikiran dan kecerdikan berbeza, mereka sukar untuk berkomunikasi. Pandangan dan pendapat sering berbeza yang boleh menimbulkan keadaaan konflik.

Dalam keadaan ini, rumahtangga yang komunikasi kurang mesra atau ada jurang pandangan, akan berterusan berdepan masalah.

Campur tangan keluarga.  Sikap ibu bapa cuba mengawal dan menentukan apa yang perlu dilakukan oleh anak dan menantu menyebabkan suami isteri tidak dapat merancang apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Sedangkan hakikat sebenar, setiap pasangan suami isteri ada matlamat sendiri ingin dicapai.

Campurtangan keluarga akan mengganggu perancangan asal mereka. Jika suami isteri bersetuju dengan cadangan keluarga, maka tidak timbul masalah.

Apa yang menjadi konflik ialah apabila satu pihak tidak bersetuju dan akhirnya menjadi konflik dalam keluarga.

Sikap cerewet keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak dan menantu tidak mampu mengikut kehendak keluarga. 

Rasa tidak puashati pasangan akan wujud jika terpaksa melayan mertua melebihi apa yang sepatutnya. Perasaan ini membawa kepada konflik antara suami isteri yang menggongcangkan keharmonian rumah tanggan.

Keluarga membesarkan masalah. Tidak dinafikan kehidupan berumah tangga tidak sunyi berdepan dengan masalah atau kekurangan.

Ini perkara ini mudah diselesaikan dengan persefahaman dan ikatan kasih sayang serta rasa tanggungjawab.  

Namun, perkara kecil ini boleh menjadi besar jika wujud campur tangan keluarga yang cuba mempengaruhi atau mengambil kesempatan dalam perkara berkenaan. Perkara ini berlaku apabila rasa tidak puashati kepada menantu disebabkan hal tertentu.

Masalah kewangan.  Wang bukan segalanya, tetapi segalanya memerlukan wang untuk mendapatnya. Banyak keperluan hidup perlu disediakan menggunakan wang.

Jadi, jika tidak ada wang yang cukup, maka boleh menimbulkan perasaan tidak senang dalam keluarga. Keadan menjadi teruk jika melibatkan beberapa perkara lain.

Tumpuan mencari rezeki.  Apabila berdepan masalah kewangan, satu langkah bijak ialah melipatgandakan usaha mencari rezeki. Usaha itu melibatkan masa dan tumpuan yang lebih daripada biasa. 

Tindakan itu satu langkah bijak, namun pada masa yang sama ia boleh menimbulkan konflik apabila pasangan tidak dapat menerima hakikat bahawa peluang masa untuk bersama dan perhatian akan terjejas.

Tindakan protes.  Isteri yang tidak berpuas hati dengan permintaan tidak ditunai oleh suami akan menunjukkan tanda protes seperti tidak mahu melayan atau melaksanakan tugas yang sepatutnya. Sikap itu menyebabkan berlaku konflik dalam rumah tangga. 

No comments:

Post a Comment