Wednesday, 9 June 2021

SEDIA KHIDMAT UPAH MENJADI CINA BUTA

 

Khidmat lelaki nikah cina buta diperlukan segera. Tugas jadi suami sementara atau suami ekspres kepada janda muda. Mesti sihat tubuh badan dan sanggup patuh kepada syarat yang ditetapkan. Upah khidmat cina buta boleh dirundingkan. Segala keperluan akan diuruskan.

Itu antara iklan di media maya menawarkan khidmat cina buta. 
 
Kisah gila talak berlaku apabila suami menceraikan isteri dengan talak tiga sama ada sekaligus atau tiga kali bercerai. Pasangan ingin kembali hidup bersama sebagai suami isteri. Namun perkahwinan semula pasangan bercerai talak tiga tidak dibenarkan oleh syarak, melainkan telah berlaku beberapa keadaan yang ditetapkan. 

Suami yang menceraikan isterinya dengan talak tiga tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semua, melainkan setelah bekas isterinya berkahwin dengan lelaki lain dengan akad nikah yang sempurna. 
 
Maksud nikah yang sempurna ialah perkahwinan itu dilakukan mengikut hukum syarak dan melalui tempoh perkahwinan sebagai pasangan suami isteri seperti lazimnya iaitu melakukan hubungan seks atau hubungan badan. 

Selepas bekas isteri sudah disetubuhi oleh suami baharunya dan dianggap nikah yang sempurna. Dalam kes cina buta, tempoh perkahwinan ditetap untuk tempoh tertentu. Yang penting, mereka 'wajib' melakukan hubungan seks dalam tempoh masa itu.

Untuk melunaskan kehendak hukum agama itu, maka wujudlah apa yang dinamakan cina buta atau di Indonesia dikenali sebagai “Chindor Buta”. 
 
Cina buta diupah untuk menjadi suami sementara dan melakukan syarat ditetapkan oleh syarak itu bersetubuh dengan isteri dan kemudianya menceraikan bagi membolehkan berkahwin dengan bekas suami. 

Sebab itu, ada perkahwinan cina buta hanya berjalan satu malam sahaja. Selepas mereka melakukan hubungan seks, maka suami baharu akan melafazkan cerai seperti dijanjikan atau ikut kontrak. 
 
Namun, lelaki cina buta akan menetapkan tarikh lebih lama sampai seminggu atau sebulan bagi membolehkan dia dapat lebih banyak kali melakukan hubungan seks dengan isteri ekspres itu sebelum diceraikan.

Memandangkan bukan mudah untuk mencari lelaki yang sanggup menjadi cina buta, tambah lagi dalam keadaan terdesak, maka ada individu yang menjadikan cina buta sebagai satu kerjaya. Lelaki menawarkan diri untuk menjadi cina buta.

Mereka menjadi pak sanggup atau cina buta semata-mata mengidamkan imbuhan lumayan mencecah RM10,000 serta berpeluang bermalam dengan isteri ekspres bagi memuaskan nafsu sebelum diceraikan.

Dengan imbuhan serta pelbagai barangan mewah lain diberikan isteri ekspres masing-masing, kumpulan cina buta terbabit tidak kisah dilabel dengan gelaran itu, malah memberi alasan ia bukan perkara mendatangkan kesalahan kerana segala-galanya dilakukan mengikut syarak.

Bagi memudahkan pelanggan terdesak menghubungi mereka, kumpulan cina buta terbabit mendedahkan identiti serta maklumat peribadi berserta nombor telefon masing-masing dalam laman web.

Sebenarnya terdapat khilaf atau perbezaan pendapat di kalangan ulama berkaitan dengan cina buta. Mereka membahaskan sama ada nikah cina buta itu sah atau sebaliknya. 
 
Ulama berpendapat perkahwinan cina buta tidak sah kerana ia satu perkahwinan kontrak atau perkahwinan sementera yang ditetapkan tempoh perkahwinan.

Perkahwinan itu menyamai nikah mutah yang diharamkan dalam Islam. Perbezaan nikah mutah dengan nikah cina buta ialah nikah mutah tidak melibatkan saksi dan wali serta tiada mas kahwin, sedangkan nikah cina buta dilakukan mengikut hukum syarak seperti ada wali, saksi dan mas kahwinan. Malah ia didaftarkan mengikut undang-undang perkahwinan.

Soal sah atau tidak perkahwinan cina buta perlu dipandang penting untuk difahami. Jika tidak sah, maka implikasinya ialah persetubuhan pasangan bercina buta itu adalah haram. Mereka melakukan zina dan jika tersemai benih dan melahirkan anak, maka anak itu adalah anak zina. 

Begitu juga perkahwinan semula dengan bekas suami juga tidak sah kerana tidak menepati peraturan atau syarat bahawa bekas isteri itu perlu kahwin dan bersetubuh dengan suami barunya.

Sebab itu, ada pasangan bercerai talak tiga membuat perancangan teliti untuk memastikan mereka dapat kembali menjadi pasangan suami isteri biarpun terpaksa melalui cabaran dan tempoh masa lama. 
 
Perkara yang dilakukan ialah bekas suami mencari lelaki yang benar-benar ingin mengambilnya sebagai isteri. Lelaki itu mengambilnya sebagai isteri bukan atas dasar kontrak atau cina buta dan melakukan hubungan seks dengan isterinya seperti sepatutnya.

Namun, di pihak isteri akan melakukan sesuatu yang tidak disukai suami agar berlaku masalah dalam rumah tangga. Kemuncak kepada masalah yang dicipta itu ialah berlaku perceraian yang tidak dirancang oleh suami. Dalam kaedah itu, perkahwinan itu dianggap sempurna dan sah. 
 
Dalam kes seumpama itu, wanita itu dan sesiapa yang berpakat dengannya dianggap melakukan dosa, yaitu meminta cerai dari suami dan perbuatan penipuan yang dipercayai oleh suami baharu itu.

Cara terbaik untuk mengelak perkara ini ialah para suami perlu berhati-hati dalam melafazkan talak. Perkara itu bukan boleh dibuat main. 

Baginda Rasulullah SAW. Bersabda, “Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah perceraian”.

No comments:

Post a Comment