Terdapat
empat matlamat hukuman dalam Islam iaitu melakukan pencegahan, memberikan ganti
rugi, melakukan pemulihan dan tujuan ukhrawi.
Melakukan
pencegahan. Pencegahan adalah kaedah untuk
mendidik manusia agar tidak mengulangi perbuatan itu. Mereka yang pernah
dikenakan hukuman merasa insaf dan serik melakukan perbuatan itu.
Tentu mereka tidak mahu mengulangi perbuatan salah yang menyebabkan mereka
dikenakan hukuman sekali lagi. Sesungguhnya tidak ada manusia yang suka
dihukum. Jadi, langkah terbaik ialah tidak mengulangi perbuatan itu.
Memberikan ganti
rugi. Kaedah ganti rugi adalah sebagai
ganti kepada hukum yang sepatutnya dikenakan. Contohnya, kesalahan
menyebabkan kerosakan harta benda digantikan dengan bayaran wang oleh
pelakunya.
Adalah merugikan jika kesalahan itu dihukum melalui harta pesalah pula
dirosakkan. Maka, kaedah ganti rugi lebih sesuai dan mengelak kerugian lain.
Pelaku
kesalahan perlu bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung oleh pihak
lain akibat perbuatannya sama sengaja atau tidak.
Fiman Allah SWT bermaksud: "Tiap diri bertanggungjawb atas apa yang telah
diperbuatnya." (Surah al-Muddatstsir, ayat 38).
Perasaan
tanggunjawab dapat melatih kita lebih berhati-hati dan sedar kesan yang perlu
ditanggung atas setiap perbuatan yang dilakukan. Jadi, ia dapat mengelak
individu melakukan kesalahan kerana kesannya dia yang perlu membayar ganti
rugi.
Hukuman
dalam bentuk ganti rugi juga dapat difahami melalui firman Allah SWT dalam
surah al-Baqarah, ayat 178 bermaksud:
"Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya
(pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut
cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah
menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu
adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah
itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab
siksa yang tidak terperi sakitnya."
Jelaslah,
hukuman ganti adalah satu keringanan daripad Allah SWT. Malah, Islam menegah
orang melakukan balas dengan berlebihan yang bakal mencetuskan masalah lebih
besar akibat dendam dan marah. Sifat memaafkan lebih utama diamalkan dalam
Islam. Sebenarnya, hukuman ganti rugi termasuk dalam kategori pencegahan khas.
Melakukan
pemulihan. Pemulihan dilakukan terhadap
penjenayah yang telah dijatuhi hukuman bertujuan menyedarkan mereka kesalahan
yang telah dilakukan.
Pemulihan itu juga diharapkan dapat memberi kefahaman kepada mereka bahawa
hukuman itu sebenarnya memberi kebaikan untuk mereka agar tidak terus melakukan
perbuatan dosa yang mungkin memberi kesan buruk kepada diri sendiri.
Di
samping itu tujuan pemulihan juga diharapkan dapat menyedarkan masyarakat agar
dapat menerima kembali pesalah dalam masyarakat. Pesalah telah menerima hukuman
dan itu telah memadai untuknya. Tidak perlu lagi masyarakat memulau mereka yang
boleh dianggap satu lagi bentuk hukuman.
Terdapat
empat peringkat pemulihan dilakukan.
Pertama, menyedarkan
penjenayah akan kesalahan telah dilakukan agar mereka tidak mengulanginya. Ini
kerana tidak dinafikan terdapat pesalah sebenarnya tidak sedar bahawa apa yang
mereka lakukan itu satu jenayah.
Ini terutama berkaitan jenayah tidak mematuhi berkaitan ibadat
wajib. Contoh dalam soal berpuasa. Banyak orang tidak berpuasa, tetapi
banyak yang tidak menggantikannya atau membayar kifarat atau disebut juga
denda.
Kedua ialah kesalahan
dilakukan tidak dihebohkan kepada umum bagi mengelak salah faham atau
penghinaan terhadap pesalah. Hukuman yang dikenakan sudah dianggap balasan
setimpal.
Maka tidak wajar mereka ditambah hukuman dengan diaibkan kepada orang ramai.
Seungguhnya, Islam menyuruh agar kita menutup aib orang lain.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah
kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah
yang buruk sesudah beriman, dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah
orang yang zalim.” - (Surah al-Hujurat, ayat 11).
Ketiga ialah memberi kesedaran
kepada penjenayah agar bertaubat. Sesungguhnya manusia tidak sunyi melakukan
dosa. Pun, Allah SWT memberi peluang kepada manusia bertaubat untuk
menghapuskan dosa.
Firman
Allah SWT dalam surah az-Zumar, ayat 53 bermaksud: “Katakanlah, wahai
hamba-hamba-Ku yang pernah melakukan perbuatan melampaui batas ke atas diri
mereka, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, sesungguhnya Allah
mengampuni keseluruhan dosa dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha
Penerima taubat.”
Keempat ialah hukuman yang
mana perlaksanaannya bukan bertujuan mendera atau menganiaya. Islam bersifat
toleransi dan mementingkan sikap kemanusiaan.
Berbuat baik adalah satu perintah
yang jelas sepertimana Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Allah
memerintahkan (kamu) berlaku adil dan berbuat ehsan." (Surah an-Nahl, ayat
90)
Tujuan ukhrawi. Ia bermaksud faedah diterima penjenayah akibat hukuman itu
ketika hayatnya di dunia. Dengan kata lain, ada manfaat dan keuntungan bagi
sesiapa dikenakan hukuman di dunia ini. Pun begitu, ulama berselisih pendapat
tentang perkara ini.
Imam
Syafie berpendapat hukuman itu satu kifarat di dunia dan dosa dilakukan
terhapus yang mana tiada lagi hukuman di akhirat. Dengan kata lain, dosa itu
terhapus di dunia apabila telah menerima hukuman di dunia ini.
Hujah ini bersandarkan kepada hadis bermaksud: "Manaka kau tahu mungkin
(hukuman) hudud itu diturunkan sebagai kifarat kepada
dosa."
Manakala
Abu Hanifah berpendapat sebaliknya. Hukuman di dunia tidak melepaskan seseorang
daripada menerima hukuman di akhirat.
Beliau berhujah dengan firman Allah SWT bermaksud: "Yang demikian itu satu
penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka mendapat seksaan yang
besar."
No comments:
Post a Comment