Menurut jumhur ulama, zakat fitrah wajib dibayar dalam bentuk makanan asasi pada suatu negeri. Jadi di Malaysia, zakat fitrah dibayar dalam bentuk beras.
Apakah zakat fitrah boleh dibayarkan dalam bentuk wang?
Menurut ulama Hanafi, zakat fitrah boleh dibayarkan dengan nilainya (qiimatuhu), iaitu dalam bentuk wang yang setara nilainya dengan makanan.
Manakala menurut ulama jumhur (Maliki, Syafie, Hambali), tidak boleh dibayar zakat fitrah dengan nilainya. Zakat fitrah mesti diberi dalam bentuk makanan asasi.
Biarpun penganut Islam di Malaysia berfahaman Mazahab Shafie, dalam kes membayar zakat fitrah, pandangan ulama Hanafi digunakan pakai iaitu boleh membayar zakat fitrah berdasarkan nilai semasa sumber makanan asasi yang dimakan penduduk setempat.
Justeru, di negara Malaysia majoriti orang Islam berzakat fitrah menggunakan matawang, biarpun masih ada yang kekal menggunakan beras.
Jika dihalusi, kefarduan zakat fitrah ke atas setiap Muslim mempunyai erti amat mendalam. Zakat fitrah menjadi tanda lengkap ibadat puasa Ramadan sebulan sehingga diri bersih daripada dosa dan mendapat keampunan daripada Allah.
Perlaksanaan ibadat zakat fitrah menjadi kayu pengukur ketakwaan setiap Muslim yang dibentuk sepanjang ibadat puasa. Sekiranya ibadat puasa berkonsepkan menahan diri, ibadat membayar zakat fitrah pula satu pengorbanan melakukan sesuatu biasanya manusia tidak mahu melakukan.
Bukan mudah untuk memberikan hak milik sendiri kepada orang lain, kecuali mereka yang beriman patuh melaksanakan perintah Allah.
Zakat fitrah menjadi tanda kekuatan jiwa hasil melalui institusi latihan puasa. Hakikatnya ibadat zakat merupakan cara mendekatkan diri kepada Allah dan menghakis sifat mencintai kekayaan dunia.
Dijelaskan zakat fitrah adalah ‘kenderaan’ menghantar ibadat puasa untuk diterima oleh Allah. Justeru, sesiapa tidak menunaikan zakat fitrah bagi dirinya dan tanggungannya, sedangkan dia mampu melakukannya, maka pahala puasanya tidak diangkat.

No comments:
Post a Comment