Keburukan akibat judi lebih besar berbanding manfaatnya. Maka, disebabkan keburukan lebih besar, amalan judi hendaklah dijauhkan.
Firman Allah SWT dalam ayat 219 dari surah al-Baqarah bermaksud:
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.
Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat
bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”
Imam Ibn Jarir al-Tabari menyebut bahawa
meskipun terdapat manfaat daripada keduanya (iaitu arak dan judi) namun dosa
keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya. Ini sepertimana yang berlaku
kepada orang yang meminum arak dengan merasakan kelazatan yang diteguknya namun
akibat dari mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan
serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain.
Begitu juga dengan judi yang penuh
dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun
dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang
lain. Manfaatnya ada namun mafsadah yang timbul daripadanya lebih besar.
(Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 2/489)
Imam al-Alusi pula dalam mentafsirkan ayat
di atas menyebut beberapa contoh dosa atau keburukan yang dibawa oleh judi,
antaranya: memakan harta secara batil; boleh menyebabkan penjudi terjebak
ke dalam jenayah curi; mencederakan jiwa; mensia-siakan keluarga; melakukan
perkara yang keji dan hina; serta rasa permusuhan yang timbul baik secara
tersembunyi atau terang-terangan. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/262)
Perbuatan judi adalah dari perbuatan syaitan yang sudah pasti mendatangkan keburukan dan membawa kepada kegagalan dalam hidup.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa
sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib
dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan.
Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah, ayat 90)
Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab
tafsirnya Mafatih al-Ghaib ketika membincangkan berkenaan hikmah
daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan
keburukan maysir (judi) dan qimar (pertaruhan) adalah ia boleh
membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta
merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil; di samping
melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat.
Tambah beliau lagi, pertaruhan di
dalam qimar dan maysir juga menimbulkan perasaan ingin
cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya
habis digunakan untuk berjudi sehinggakan sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak
pula.
Tentunya si kalah judi ini akan jatuh
miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan
merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang
berpanjangan di dalam masyarakat.
Dari segi agama pula, si penjudi akan
jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan
dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia
menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di
dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang
dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib 6/49 dan 12/82)
Ibn Taimiyyah berkata: “Sesungguhnya
mafsadah judi adalah lebih besar daripada mafsadah riba kerana ia meliputi dua
mafsadah: Pertama, mafsadah memakan harta secara haram. Kedua, mafsadah perkara
lalai yang haram, di mana ia menghalang daripada mengingati Allah, lalai
daripada mengerjakan solat serta menimbulkan permusuhan dan kebencian.
Disebabkan itulah, diharamkan judi sebelum pengharaman riba. (Lihat Majmu’
al-Fatawa, 32/337)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan
daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya
Allah telah mengharamkan ke atasku, atau diharamkan arak, judi, al-kubah (sejenis
permainan yang menggunakan papan, buah dan dadu, juga dikenali sebagai tabal
atau nard).” (Hadis riwayat Abu Daud (3696), Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra
(21519), Ahmad (2476) dan Ibn Hibban (5365)
Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Setiap
permainan yang bertujuan untuk berjudi maka hukumnya haram. Judi ialah
permainan yang dilakukan oleh manusia, tidak dapat lari daripadanya untung atau
rugi. Ia juga dinamakan maisir (yang didapati tanpa usaha dan
jerih) yang disebut oleh al-Quran beriringan dengan
arak, Anshaab (yang disembelih untuk berhala)
dan Azlaam (yang diundi dengan batang kayu untuk menentukan nasib).”
(Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 493)
Dalam sebuah hadis lain, yang diriwayatkan
daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barangsiapa yang
berkata pada temannya: Marilah kita berjudi / bertaruh! Maka hendaklah dia
bersedekah. (Hadis riwayat al-Bukhari (4860) dan Muslim (1647)
Imam Nawawi berkata: “Ulama menyebut bahawa
perintah bersedekah adalah sebagai penghapus kesalahannya pada perkataannya
dalam maksiat ini. Al-Khattabi berkata, maksudnya bersedekahlah dengan kadar
ajakan untuk berjudi/bertaruh tersebut. Imam Nawawi kemudian berkata: Yang
benar di sisi ahli muhaqqiq – dan ia adalah zahir hadis – bahawa tidaklah
dikhususkan dengan kadar tersebut, bahkan bersedekahlah dengan apa yang dia
mampu. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/107)
No comments:
Post a Comment