Tugas arboris. Arboris adalah pakar dalam
mengendalikan tumbuhan berkayu terutamanya dari segi pemantauan keadaan,
kesihatan, pereputan dan kesesuaian spesies yang boleh ditanam di sesuatu
kawasan.
Untuk menjadi arboris bertauliah perlu
menduduki dan lulus peperiksaan akreditasi kendalian Persatuan Arborikultur
Antarabangsa (ISA) berpangkalan di Amerika Syarikat.
Kepakaran arboris amat penting terutama
untuk menilai keadaan fizikal pokok yang berada di tempat awam seperti di tepi
jalan raya, taman permainan, kawasan perumahan dan tempat tumpuan orang ramai.
Arboris adalah watak penting
menjaga pokok di tepi jalan terutama yang bersaiz besar demi keselamatan orang
awam.
Setiap arboris bertauliah mestilah
mengetahui dan memahami keseluruhan ciri dan sifat pokok melalui 10 ‘domain’
atau subjek. Antara ‘domain’ ialah yang membabitkan pengurusan tanah,
pengecaman dan pemilihan pokok, penanaman pokok, biologi pokok, amalan
keselamatan kerja, pemangkasan pokok, diagnosis dan rawatan penyakit,
perlindungan pokok, hutan bandar serta pengurusan risiko pokok.
Satu lagi, pakar pokok bertauliah juga
perlu memahami fisiologi setiap jenis tumbuhan secara mendalam sebelum
memulakan proses rawatan. Beberapa tugas yang sering dilakukan arboris
bertauliah terhadap pokok ialah kerja pemangkasan, penebangan, pemindahan,
penilaian risiko pokok, penilaian ekonomi dan perancangan hutan bandar.
Arboris membantu dalam membuat penilaian terhadap kesihatan
dan kecederaan pokok terlebih dulu secara terperinci sebelum cadangan
penebangan atau pelupusan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

No comments:
Post a Comment