Ada pihak yang mempersoalkan, kenapa
bendera Palestin boleh dikibarkan di Malaysia, tetapi bendera negara China
tidak boleh?
Pertama sekali, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab kepada setiap warga
Malaysia agar taat setia kepada negara seiring prinsip Rukun Negara iaitu
kesetiaan kepada raja dan negara.
Kedua, setiap warga negara Malaysia perlu memiliki jati diri dan semangat
cintakan negara Malaysia. Bersusah payah nenek moyang kita berjuang
bersama-sama memerdekakan negara daripada kuasa penjajah, kenapa pula hari ini
kita hendak mengagung-agungkan negara lain selain negara sendiri?
Hormat dan semangat setiakawan pun ada
batasannya. Jangan sampai kita menggadai maruah dan kedaulatan negara sendiri.
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Kepada yang kurang faham dengan sejarah atau geopolitik, biar saya terangkan
secara ringkas kenapa ada pihak yang kibarkan bendera Palestin;
1. Penindasan tentera Zionis dan solidariti masyarakat dunia ke atas serangan
kejam hingga membunuh ramai kanak-kanak serta orang awam yang tidak berdosa di
bumi Palestin.
2. Terbukti jenayah perang ini turut mendapat reaksi dan tentangan
banyak negara melalui resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB). Ini adalah isu antarabangsa.
Mengibarkan bendera Palestin kerana dua perkara di atas adalah sangat berbeza
dengan tindakan segelintir pihak yang mengibarkan bendera asing yang lain tanpa
bersebab.
Saya tidak kata langsung tidak boleh mengibarkan bendera negara asing, tetapi
ia perlulah memiliki sebab yang kukuh. Misalnya di kejohanan sukan
antarabangsa, sudah tentu ada bendera negara asing yang dikibarkan, atas sebab
penyertaan negara tersebut.
Begitu juga dengan peristiwa atau hari-hari penting yang diraikan seperti ulang
tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China. Sudah tentu kita dapat melihat
bendera kedua-dua negara dikibarkan secara bersama sebagai simbolik hubungan
akrab kedua-dua negara.
Justeru timbul persoalan, apa sebab dan motif mengibarkan bendera negara China
di dalam sekolah di Malaysia dan terbaharu, di tempat awam di Teluk Intan?
Siapakah penganjur program tersebut?
Malah, Ketua Polis Perak juga sudah menyatakan bahawa perhimpunan tersebut menyalahi
permit yang dikeluarkan apabila melibatkan rakyat negara asing. Lebih parah
lagi apabila himpunan warga asing di bumi Malaysia dengan mengibarkan bendera
asing. Cuba sebut dan nyatakan, kalau ada mana-mana negara lain yang akan
membenarkan insiden seperti ini berlaku di negara mereka.
Ketiga, sekiranya betul mereka yang kibarkan bendera asing tu adalah di
kalangan warga asing sekali pun, kenapa tidak kelihatan bendera Malaysia yang
turut dikibarkan bersama oleh pihak penganjur yang saya yakin adalah di
kalangan orang Malaysia? Siapa penganjur? Bukankah Teluk Intan itu di Malaysia?
Bukankah itu sepatutnya menjadi tanggungjawab dan hasrat setiap warga Malaysia
untuk mempromosikan Malaysia, apatah lagi di kawasan-kawasan pelancongan kita
sendiri?
Fikir-fikirkanlah. Ini bukan isu politik atau isu perkauman. Tetapi ini adalah
isu kedaulatan dan sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih tidak sedar akan
tanggunjawab kita untuk menjunjung martabat dan mempertahankan kedaulatan
negara kita sendiri.
Malaysia, tanah tumpahnya darahku.
Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
26 Oktober 2024
No comments:
Post a Comment