Hendaklah segera taubat dengan cara betul bagi memastikan terhapus dosa. Sesungguhnya, Allah membuka seluas-luasnya
peluang untuk hamba-Nya memperbetulkan kesilapan dan dosa yang telah dilakukan
sama ada secara sengaja atau tidak disedari. Setiap dosa dilakukan menyebabkan kekotaran di dalam diri atau hati. Maka,
untuk membersihkan dosa itu Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan
dapat membersihkan dirinya daripada dosa.
Taubat bererti
kembali, iaitu membawa maksud kembalinya seorang hamba kepada Allah daripada
segala perbuatan dosa yang dilakukannya. Oleh itu, ahli tasauf menjadikan
taubat sebagai anak tangga pertama yang harus dilalui sebelum menaiki anak
tangga seterusnya untuk menjejaki ketinggian Allah.
Taubat boleh dilakukan bila-bila masa tidak
kira di mana kita berada. Namun perlu diingatkan bahawa taubat jua
ada masa atau hadnya iaitu Allah akan menolak permohonan taubat apabila nyawa
telah berada di halkum atau ketika maut telah terlalu hampir.
Sebab itu, kita tidak seharusnya
melengah-lengahkan taubat. Sebaik menyedari telah melakukan dosa,
tidak kira kecil atau besar, maka perlulah terus bertaubat. Sikap menangguhkan taubat ingin dilakukan
apabila usia tua perlu dijauhkan.
Ingatlah, bahawa kita tidak tahu bilakah akan tiba ajal. Banyak kes kematian berlaku secara tiba-tiba seperti kemalangan jalan raya dan penyakit berbahaya yang menyebabkan kematian secara tiba-tiba.
Ingatlah, bahawa kita tidak tahu bilakah akan tiba ajal. Banyak kes kematian berlaku secara tiba-tiba seperti kemalangan jalan raya dan penyakit berbahaya yang menyebabkan kematian secara tiba-tiba.
Taubat membolehkan manusia memperbaharui
janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala
perbuatan dosa dan maksiat dan seterusnya mempertingkatkan keazaman
beristiqamah serta beriltizam melaksanakan ketaatan penuh keikhlasan kepada
Allah.
Sehubungan itu,
Allah mengampunkan segala dosa dan kesalahan dilakukan hamba-Nya yang hatinya
masih beriman kepada-Nya kecuali dosa syirik. Biarpun sebesar mana
dosa yang dilakukan, Allah tetap mengampunkan.
Firman Allah
yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang telah
melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat),
janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah
mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun lagi
Maha Mengasihani." (Surah azz-Zumar, ayat 53)
Jika ia
melibatkan dosa syirik, biarpun tidak diampunkan, tidak pula bermakna peluang
untuk memperbaiki diri tertutup langsung. Dosa syirik dihapuskan
melalui pengakuan mengesakan Allah atau mengucap dua kalimah syahadat.
Manakala dosa
melibatkan sesama manusia, dosa itu perlulah diampunkan oleh orang yang
berkenaan. Sebagai contoh, jika ia berkaitan dosa mengumpat atau
fitnah, maka untuk menghapuskan dosa itu maka hendaklah mendapat kemaafaan
daripada orang yang diumpat atau difitnah itu.
Sebab itu, kita
dinasihatkan agar berhati-hati dalam hubungan sesama manusia. Tentulah
amat sukar untuk kita memohon kemaafan sesama manusia, tambah lagi ia
melibatkan jumlah orang yang terlalu banyak.
Namun begitu,
bagi siapa yang menyedari betapa banyak dosa yang telah dilakukan sesama
manusia dan merasakan tidak mungkin dapat memohon kemaafan dari setiap individu
yang telah dibuat kesalahan, maka tetap bertaubat memohon keampunan terus kepada
Allah.
Rasulullah SAW
menjelaskan sememangnya manusia tidak terlepas daripada kesilapan dalam
hidupnya dan selamanya manusia itu tidak maksum atau terpelihara kecuali nabi
dan rasul. Pun begitu, keadaan itu tidak pula seharusnya dijadikan
alasan untuk melakukan dosa. Kita mesti sedaya mungkin mengelak
daripada melakukan dosa. Hanya jika telah melakukan dosa maka
teruslah bertaubat memohon keampunan daripad Allah.
Sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud: "Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik
orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada
Allah." (Hadis riwayat Darimi)
Firman Allah
yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah
dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu
dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)
Hamba yang sedar
akan dosa yang telah dilakukan terus bertaubat kepada Allah dan menyerahkan
diri kepada-Nya dengan penuh penyesalan dan seterusnya membulatkan tekad
keazaman mempertingkatkan amal soleh dalam kehidupannya.
Inilah antara
ciri orang yang benar-benar beriman kepada Allah selari firman-Nya yang
bermaksud: "Dan (antara ciri orang bertakwa itu) ialah orang yang apabila
melakukan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat
kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada
yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan
perbuatan keji yang mereka lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya
dan akibatnya). (Orang yang demikian sifatnya), balasannya ialah keampunan dari
Tuhan mereka dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal
di dalamnya. Dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang
beramal." (Surah Ali Imran, ayat 135-136)
Taubat bukan
sekadar melafaz ucapan, sebaliknya mereka yang bertaubat hendaklah menyesal dan
insaf terhadap kesilapan terdahulu dan bertekad tidak akan mengulangi lagi
perbuatan itu.
Sesungguhnya
taubat bukan saja untuk menghapuskan dosa, tetapi juga sebahagian daripada
ibadat. Maka itu, kalaupun merasakan diri tidak melakukan sesuatu
dosa secara terang-terang, sebenarnya masih dituntut agar bertaubat sebagai
sebahagian amalan harian. Tindakan itu dapat mengingatkan kita agar tidak melakukan dosa-dosa lain.
Diriwayatkan
Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali dan Baginda juga tetap mendirikan
solat tahajud di tengah malam padahal Baginda sudah diampunkan dosanya yang
terdahulu dan akan datang. Lantas Baginda menjelaskan kepada isterinya
tercinta, Saidatina Aisyah, "Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba
Allah yang sentiasa bersyukur kepada-Nya." (Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)
Jika Rasulullah SAW
yang tidak melakukan dosa tetapi tetap melakukan taubat, mengapakah pula kita
yang sentiasa tidak sunyi daripada melakukan dosa bertindak
sebaliknya. Janganlah kita sombong dan menjauhkan diri daripada rahmat
Allah. Jadilah kita hamba yang sentiasa membersihkan diri dengan
memperbanyakkan taubat.
No comments:
Post a Comment