Saturday, 24 May 2025

AMANAT HAJI HADI

 
PAS secara rasminya tidak pernah keluarkan kenyataan mengkafirkan pihak lain. Namun, pemimpin dan ahlinya sering berbuat demikian. Kalau di kalangan pemimpin berbuat demikian, itu boleh dianggap dikeluarkan oleh PAS dan menjadi pegangan ahli PAS.

Contohnya, menjelang Pilihan Raya Umum Keenam (1982), Ustaz Abdul Hadi Awang dilihat sebagai pemimpin pelapis PAS telah mengeluarkan kenyataan yang dikenali Amanat Haji Hadi, ketika berceramah di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Ucapan beliau telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu.

Sedutan ucapan ini adalah seperti berikut: 

Saudara-saudara sekelian percayalah, kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian. Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha. Kita tidak perlu masuk Hindu. Kita tidak perlu masuk Kristian. Tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan 'politik suku, agama suku'.

Walau bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan beliau tidak pernah melabelkan ucapan dan kenyataan tersebut sebagai Amanat Haji Hadi, tetapi dilabelkan oleh pihak lain.

Hakikatnya ucapan itu memang menguasai minda penyokong PAS apabila ia dicetak dalam empat versi. Pertama dalam tulisan jawi yang dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran Pilihan Raya Kecil DUN Selising Kelantan pada tahun 1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Dewan Pemuda PAS Pusat.

Betapa ucapan itu memberi kesan buruk, pada tahun 1984, Majlis Fatwa Kebangsaan  memutuskan amanat tersebut sebagai bertentangan dengan Islam.

Menurut fatwa pada 21 November 1984, "jika terdapat tuduhan atau anggapan oleh anggota atau penyokong PAS atau sesiapa sahaja terhadap anggota UMNO, pemimpin atau pegawai kerajaan beragama Islam sebagai kafir, atau sebaliknya (UMNO menuduh PAS), ia adalah tidak benar dan sia-sia. 

"Ini kerana anggota-anggota UMNO atau sesiapa yang mengucap dua kalimah syahadah adalah tetap orang Islam selagi tidak dihukum murtad oleh pihak berkuasa agama Islam negara ini."

Fatwa itu turut menyatakan tuduhan mengatakan seseorang yang beragama Islam sebagai kafir adalah perbuatan haram yang perlu diberhentikan serta-merta dan hendaklah bertaubat kepada Allah SWT.

Baca juga:

No comments:

Post a Comment