Thursday, 22 May 2025

USAHAWAN PANDAN CIPTA SENSASI

 
Kebanyakan orang melihat pokok pandan sekadar tumbuhan ditanam di tepi rumah untuk keperluan keluarga. Namun, bagi Kamariah Md Yatim, pokok pandan adalah sumber rezeki dan kekayaan.
 
Kamarian seorang ibu tunggal kepada lapan orang anak dari Tanjung Karang, Selangor. Sekitar tahun 2000, hidup Kamariah berubah secara mendadak apabila diuji dengan pelbagai kesusahan. Tinggal bersama lapan orang anak yang masih kecil, mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan hanya berlindung dalam sebuah pondok kecil usang.
 
Untuk menyara keluarga, beliau dan anak-anak bangun seawal pagi mencari daun pandan, pucuk ubi dan kangkung di sekitar parit serta tali air kampung. Hasil tanaman itu dijual bagi menampung keperluan harian.
 
Melihat kepada hasil diperoleh daripada pandan "liar", dia yakin bahawa pandan boleh mendatangkan hasil lumayan jika diusahakan dengan baik. Dia memberanikan diri memohon bantuan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan menerima pinjaman permulaan sebanyak RM2,000. Wang itu digunakan untuk memulakan penanaman pandan secara kecil-kecilan.
 
Hasil usaha gigih dan kesabaran, perniagaannya mula berkembang. Beliau pernah memohon pinjaman sebanyak RM50,000 untuk membeli sebidang tanah dan memperluaskan tanaman pandan wangi.
 
Kini, hasil tuaian beliau mencecah ratusan kilogram setiap kali tuai, dan perniagaannya telah membuahkan kejayaan yang membanggakan. Kamariah juga pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap ketabahannya.
 
Kisah Kamariah memberi inspirasi besar bahawa seorang ibu tunggal juga mampu bangkit dan berjaya dengan semangat, kesabaran dan kerja keras. Daun pandan yang mungkin dipandang biasa oleh orang lain telah menjadi sumber rezeki luar biasa bagi beliau dan keluarganya.
 
Kredit: Media sosial

No comments:

Post a Comment