Wednesday 12 August 2020

BANYAK KEGUNAAN PRODUK DARIPADA POKOK KELAPA

Pastinya ramai yang mengenali pokok dan buah kelapa. Pokok kelapa banyak ditanam di Malaysia, terutama di kampung-kampung sebagai tanaman untuk memenuhi keperluan keluarga, terutama santan kelapa yang menjadi keperluan utama dalam penyediaan masakan kaum Melayu.

Pokok kelapa dikenali sebagai pokok serba guna kerana boleh dikatakan semua bahagian pokok kelapa boleh digunakan,dari puncuk sehinggalah kepada akarnya. 
 
Daun muda digunakan untuk membuat sarung ketupat. Daun tua dijadikan pembalut otok-otak, sejenis makan terkenal di Terengganu. Lidi pula dijadikan penyapu mahupun dianyam menjadi lekar dan kraf tangan lain. Itu baharu cerita tentang daun dan lidi, tidak lagi bahagian-bahagian lain.

Pokok kelapa memang mudah ditemui di Malaysia. Pergilah ke mana-mana negeri di Malaysia, pasti akan ditemui pokok kelapa. Tidak kisahlah yang ditaman secara ladang atau sekadar beberapa pokok di kawasan sekeliling rumah atau kampung.

Kewujudan pokok kelapa di satu-satu tempat boleh dianggap sebagai penyeri. Daun kelapa yang bergerak-gerak ditiup angin seakan-akan melambai-lambai pengunjung datang ke tempat itu.

Mana-mana kawasan yang tidak mempunyai pokok kelapa seakan-akan hilang serinya, seperti hilang identiti negara.

Jika di negara Arab menampilkan pokok kurma sebagai identitinya, maka di negara kita pokok kelapa menjadi penyerinya.

Sebab itu pokok kelapa bukan sahaja berada di kampung-kampung, bahkan juga ditanam di kawasan bandar sebagai pokok hiasan. Kita tidak perlu menggantikan pokok kelapa dengan menanam pokok kurma seperti pokok hiasan. 
 
Lebih cantik rasanya kita menanam pokok kelapa sebagai hiasan berbanding pokok kurma. Pokok kelapa yang ditanam di negara kita pastinya berbuah. Berbanding pokok kurma yang sekadar menjadi pokok hiasan di kebanyakan tempat. 

Jenis tanaman kelapa boleh dibahagikan kepada 3 kategori utama iaitu jenis kelapa tinggi dan jenis kelapa renek. Jenis pokok kelapa tinggi lebih banyak ditanam di negara kita pada masa dahulu. 
 
Pokoknya tinggi dan mengambil masa lebih lama untuk mengeluarkan buah iaitu kira-kira lima tahun. Tetapi kelebihan kelapa tinggi ialah jangkamasa boleh mengeluarkan hasil secara produktif agak lama sehingga lebih lima puluh tahun.

Jenis kedua ialah pokok kelapa renek. Pokok kelapa renek akan berbuah selepas dua atau tiga tahun ditanam. Sebab itu, sekarang ini kelapa renak lebih banyak ditanam, terutama untuk dijadikan pokok hiasan di kawasan rumah. 
 
Selain cepat mengeluarkan hasil, kelapa renak juga mempunyai kelebihan mudah untuk dipetik buahnya. Selain itu pokok kelapa renek banyak mengeluarkan buah.

Kelapa juga boleh kita dibahagikan mengikut warna iaitu kelapa hijau, kelapa  merah dan juga kelapa kuning. Buah kelapa hijau mudah dijumpai di mana lazimnya ia mempunyai pokok yang tinggi dan buah yang kulitnya berwarna hijau semuanya. 
 
Buah kelapa hijau bersaiz besar di mana ia sering digunakan dalam masakkan. Airnya juga berkhasiat dan digunakan sebagai air kelapa muda.

Kelapa kuning pula kebanyakannya adalah dari jenis kelapa renek yang cepat berbuat dalam masa 3 tahun sahaja. Buah kelapa kuning lazimnya berbentuk bulat dan bersaiz kecil.

Kelapa merah atau kelapa tampuk merah pula agak jarang ditemui. Kelapa merah menjadi pilihan dalam perubatan tradisional seperti sebagai penawar racun, mengubati muntah-muntah dan juga kepala pening dan pelbagai kegunaan lagi. 
 
Memandangkan jumlah kelapa merah masih kurang, sedangkan permintaan terhadapnya tinggi untuk tujuan perubatan, harga kelapa merah agak mahal sehingga boleh mencecah lima puluh ringgit sebiji.

Pokok kelapa ditanam dengan menggunakan anak benih. Buah kepala tua yang dibiarkan di tempat redup dan lembab akan tumbuh mengeluarkan anak benih. Setelah ketinggian pokok mencapai setengah meter, ia sesuai untuk dipindahkan ke tapak kekal.

Anak benih kelapa mendapat permintaan tinggi bukan sahaja daripada pekebun kelapa, bahkan orang ramai yang ingin menanam di sekitar kawasan rumah. Justeru terdapat individu yang menyemai pokok kelapa untuk dijadikan benih dan dijual kepada orang ramai. Harga benih kelapa mengikut baka.

Bagi baka yang baik seperti berbuah lebat, mudah berbuah dan buah yang besar, harga sepohon benih pokok kelapa boleh mencecah sehingga lima puluh ringgit sepokok. Kelapa kelapa akan mengeluarkan buah selepas dua tahun ditanam, terutama dari jenis pokok renek. Masa lebih lama diperlukan untuk berbuah bagi pokok jenis tinggi.

Pokok kelapa sesuai tumbuh di kebanyakan tempat atau jenis tanah. Sebab itu tidak sukar untuk mencari tempat untuk menanam pokok kelapa asalkan kawasan itu tidak digenangi air. 
 
Pokok kelapa juga banyak tumbuh di tanah berpasir atau tepi pantai. Pokok kelapa tidak dapat dipisahkan dengan pantai. Pokok kelapa yang tumbuh di tepi pantai menjadi penyeri kepada kawasan berkenaan yang menarik ramai pengunjung.

Pokok kelapa buah sepanjang tahun. Ia bukan jenis pokok bermusim. Sebab itu pada sebatang pokok terdapat buah yang kematangan berbeza-beza. Ada dari putik kelapa sehinggalah yang sudah tua. 
 
Jadi, pokok kelapa tidak putus-putus memberi hasil kepada pemiliknya. Memang untung jika kita menanam pokok kelapa yang boleh dipungut hasilnya sepanjang tahun.

Buah kelapa keluar dan membesar di tandan. Setiap tandan terdapat sehingga lebih 10 biji kelapa bergantung kepada jenis. Dalam setandan.... saiz dan kematangan buahnya tidak sama, namun tidak jauh berbeza sangat. Sebab itu, jika memetik buah kelapa boleh diambil kesemua untuk satu tandan pada satu masa. 

Untuk mendapatkan atau memetik buah kepala perlu memanjatnya. Kalau yang rendah tentu sahaja boleh diambil dengan mudah. Masalahnya apabila pokok terlalu tinggi dan tidak sampai untuk dikait dengan galah. Untuk memudahan memetik buah kelapa dari pokok tinggi, khidmat beruk terlatih digunakan.

Beruk yang ingin diguna khidmat untuk memetik buah kelapa perlu dilatih oleh pelatih beruk yang mahir. Di Kelantan terdapat tempat yang dinamakan sekolah beruk. Beruk akan dilatih untuk mengikut arahan atau jinak dan mengenali mana buah kelapa tua dan muda. 
 
Sekarang terdapat alat khas dicipta untuk memudahkan kerja memanjat pokok kelapa. Namun, kegunaan alat itu masih kurang kerana ramai tidak berminat dan sukar diperoleh di pasaran.

Air kelapa muda merupakan produk dari buah kelapa muda. Air kelapa muda amat lazat dan berkhasiat. Biarpun kelapa tua juga ada air, namun rasanya tidak seenak air kelapa muda. Sebab itu, jika ingin mendapatkan air kelapa yang lazat mesti menggunakan buah kelapa muda. Buah kelapa muda lebih mahal berbanding sebiji kelapa tua.

Punca buah kelapa muda lebih mahal kerana untuk mendapatkannya lebih sukar. Kelapa muda perlu diturunkan dari pokok menggunakan tali bagi mengelak ia pecah jika dibiarkan jatuh bebas. 
 
Kelapa muda tidak sahaja digunakan untuk mendapat airnya, selain air isi kelapa muda juga dimakan. Ia biasanya campur dan air kelapa untu dihidangkan. Rasanya lembut. Isi kelapa muda juga dibuat jeli dan dijadikan bahan untuk membuat kuih.

Buah kelapa tua paling banyak kegunaan. Santan yang digunakan untuk masakan diperoleh dari buah kepala tua. Buah kelapa tua dikopek untuk dibuangkan sabut dengan menggunakan kapak, parang atau alat khas. Buah kelapa dibelah dua. Ada cara untuk menjadikan buah kelapa terbelah dua walaupun dengan menggunakan belakang parang.

Ada beberapa kaedah untuk menghasilkan isi kelapa yang halus sebelum diperah. Cara pertama ialah menggunakan kukuran kelapa. Ini cara tradisional. Boleh dikatakan cara ini tidak lagi digunakan melainkan di kampung-kampung. 
 
Cara tradisional kedua ialah menggunakan parutan. Cara mudah yang lebih banyak digunakan sekarang ialah mesin parut kelapa. Mudah dan cepat.

Isi kelapa yang telah diparut akan diperah menggunakan tangan untuk mendapatkan santan. Namun sekarang ini terdapat cara mudah dengan menggunakan mesin pemerah, terutama digunakan oleh penjual santan.

Satu lagi hasil daripada pokok kelapa ialah air nira atau tuak. Air nira diperoleh dari mayang kelapa muda sebelum keluar buah. Untuk mendapatkan tuak perlu melalui beberapa proses. Nira yang keluar dari mayang akan ditadah menggunakan tukil. Pada masa dahulu tukil diperbuat daripada buluh.  Tetapi kini tukil banyak diperbuat dari botol plastik.

Air tuak tidak boleh disimpan lama. Biasanya hanya untuk dua hari.... melainkan disimpan di dalam peti sejuk. Tuak lama akan bertukar rasa masam. Ia tidak lagi sesuai untuk diminum kerana boleh memabukkan. 
 
Tuak segar halal diminum oleh orang Islam. Tetapi apabila bertukar menjadi masam ia haram diminum kerana sudah menjadi seperti arak. Tuak masam yang disimpan lebih lama akan bertukar menjadi cuka. Ketika itu ia boleh digunakan oleh orang Islam.

Di negara pengeluar utama kelapa, produk utama dari buah kelapa ialah minyak masak kelapa. Sebelum diproses menjadi minyak masak kelapa, isi buah akan terlebih dahulu dikeringkan menjadi kopral. Ia dijemur di bawah cahaya matahari selama beberapa hari.

Pokok kelapa tumbuh secara batang tunggal dari bawah sehingga atas. Namun ada juga dalam kes tertentu pokok kelapa tumbuh bercabang lebih dari satu. Ada pokok yang bercabang seakan-akan kebanyakan jenis pokok lain yang bercabang.

Satu lagi kegunaan pokok kelapa ialah dijadikan sebagai pokok bonsai. Bonsai pokok kelapa memang unik dan menarik.

Semoga perkongsian maklumat pada kali ini mendatangkan manfaat untuk semua. 

1 comment: