Saturday 21 March 2020

Anggota ATM tidak ambil tugas polis


Memang pelik perangai rakyat Malaysia. Ada pihak yang mempertikai usaha kerajaan menggunakan khidmat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata Menteri Pertahanan tidak ada kuasa dan tidak ada hak menggerakkan tentera untuk membantu usaha menguatkuasa perintah kawalan pergerakan. Alasan yang diberikan ialah tindakan itu sebagai tergesa-gesa dan tidak bijak kerana pihak polis masih mampu mengendalikan keadaan.

Apa agenda Patriot mempersoalkan tindakan itu? Adakah Patriot ingin menunggu lebih banyak rakyat dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia baharu ATM boleh digerakkan?

Dari segi undang-undang, tindakan kerajaan menggunakan khidmat anggota ATM adalah sah. Di bawah Seksyen 5 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, kuasa Menteri Kesihatan untuk melantik ataupun memberi kuasa kepada mana-mana agensi kerajaan yang difikirkan perlu untuk mengawal ataupun melaksanakan peraturan yang diperkenalkan.

Sebab itulah pihak polis mendapat surat kuasa daripada Menteri Kesihatan dan pihak Kementerian Pertahanan juga telah diberi kuasa oleh Menteri Kesihatan dibawah Seksyen 5.

Jika dikatakan anggota ATM hanya digunakan apabila negara diiystiharkan darurat serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah tidak benar. Dalam amalan biasa, apabila khidmat mereka diperlukan, maka khidmat mereka boleh digunakan.

Kita dapat lihat tentera membantu sewaktu musim bencana seperti banjir dan sebagainya. Undang-undang darurat tidak pernah diisytiharkan sewaktu banjir tetapi tentera sentiasa membantu.

Jadi tidak perlu dipersoalkan dari segi perundangan tentang kuasa polis dan tentera di dalam melaksanakan apa sahaja yang diperintahkan oleh kerajaan demi keselamatan rakyat dan negara.

Tambahan, penglibatan anggota ATM dalam membendung Covid-19 bukan mengambil alih tugas polis. Kehadiran anggota ATM hanya membantu polis di dalam memastikan pematuhan undang-undang kerana ianya melibatkan nyawa rakyat.

No comments:

Post a Comment