Saturday 23 May 2020

POTENSI INDUSTRI BULUH SEMAKIN BERKEMBANG

Industri buluh di peringkat global berkembang dengan pesat. Buluh yang sinonim dengan lemang sebenarnya turut digunakan dalam pelbagai industri, termasuk pembinaan.

Usaha kerajaan memperkenalkan industri penanaman buluh sudah bermula sejak awal tahun 1980an. Namun, ia tidak mendapat sambutan dan tidak berkembang seperti diharapkan. Sumber buluh untuk keperluan industri perabot dan kegunaan lain lebih bergantung kepada yang tumbuh meliar di dalam hutan.

Saiz pasaran global bagi produk buluh dianggarkan berjumlah AS$68 bilion (RM295 bilion) pada 2018. Bagaimanapun, sumbangan eksport industri berasaskan buluh negara masih rendah iaitu sekitar RM9 juta pada 2019.

Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program ‘game changer’ dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Oleh itu, industri buluh mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan dan dimajukan di negara ini.

KPPK telah membentangkan status pembangunan industri buluh negara dan potensinya untuk dimajukan sebagai sumber pertumbuhan baru dalam sektor agrikomoditi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Pokok buluh merupakan tumbuhan mudah ditanam dan dijaga kerana tempoh matangnya yang singkat iaitu di antara tiga hingga empat tahun dan boleh dituai selepas tempoh berkenaan.

Ketika ini terdapat kira-kira 100 pengusaha buluh dalam pelbagai kategori seperti perabot, makanan, fabrik, kraftangan, kutleri, pembinaan dan eko-pelancongan.

KPPK melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) juga menyediakan insentif pinjaman mudah bagi menggalakkan pembangunan ladang buluh.

Lima spesies buluh yang dikenal pasti di bawah PPLH adalah spesies buluh betung, buluh semantan, buluh beting, buluh beti dan buluh hitam.

Bagi menyokong pembangunan industri buluh, kementerian itu akan membangunkan Makmal Tisu Kultur dan Tapak Semaian Buluh di Lahat, Perak di kawasan seluas 1.72 hektar (4.2 ekar) dalam usaha untuk menghasilkan anak benih buluh berkualiti.

Makmal tisu kultur tersebut berupaya menghasilkan sehingga 100,000 anak benih buluh sebulan apabila beroperasi sepenuhnya kelak.

No comments:

Post a Comment