Friday 13 March 2020

ISLAM BERTINDAK TEGAS DALAM BERLEMBUT

Islam adalah agama yang mendukung prinsip-prinsip suci yang sangat selari dengan fitrah manusia dalam aspek-aspek hubungan dengan Rabb Pencipta kita dan juga hubungan sesama manusia*.

Islam memerintah kita sentiasa berlaku adil kerana ia lebih hampir kepada taqwa, dan taqwa adalah pasport untuk masuk ke syurga. Maka ini dengan secara tidak langsung bermakna sesiapa yang tidak berlaku adil akan menghadapi masalah besar di akhirat kelak kerana passport taqwa itu tidak mungkin diperolehinya.

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
(Surah al-Maidah, ayat 8).

Manakala firman Allah dalam surah An-Nisa, ayat 135 bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu."

Islam tidak sekali-kali bertindak keras terhadap bukan Islam semata-mata kerana mereka tidak menerima Islam. Sebaliknya, Islam bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang memusuhi Islam dan mengkhianati perjanjian damai yang sekaligus membuka kepada tindakan 'perang' yang keras.

Dalam catatan sejarah terdapat kejadian bagaimana Rasulullah SAW bertindak balas terhadap musuh-musuh Islam:

- Pembunuhan terhadap Ka'ab bin Ashraff, seorang pengkhianat berbangsa Yahudi dari Madinah yang datang ke Makkah untuk menghasut kafir Qurasy supaya menyerang umat Islam bagi menuntut bela atas kekalahan mereka di Badr. Peperangan Uhud telah menyusul tidak lama selepas itu.

- Pemenggalan kepala terhadap semua kaum lelaki Yahudi dari suku Bani Qurayza dan penghambaan ke atas wanita-wanita dan kanak-kanak mereka kerana berkomplot secara rahsia untuk membunuh Nabi, dan juga atas sebab pencabulan terhadap perjanjian piagam Madinah kerana bersekongkol dengan kafir Qurasy untuk menyerang Madinah.

- Serangan terhadap kaum Yahudi dari suku Bani Nadhir dan hukuman pembuangan negeri dari Madinah atas komplot rahsia mereka bekerjasama dengan kafir Qurasy dan tentera bersekutu musyrikin dari kabilah-kabilah Arab lain dalam peperangan Al-Ahzab.

- Pencabulan oleh pihak kafir Qurasy terhadap perjanjian Hudaibiyyah yang mengakibatkan Nabi mara bersama 10 ribu tentera Islam dari Madinah untuk menawan dan membebaskan kota Makkah* dari penguasaan kafir Qurasy.

Jelas di sini bahawa tindakan keras Nabi hanyalah sebagai respons kepada pengkhianatan yang diawali oleh musuh-musuh Islam. Bukannya Nabi yang mulakan pengkhianatan terlebih dahulu.

Gambar sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment