Wednesday 26 February 2020

KELEBIHAN BULAN REJAB

Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya, kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rejab.

Satu perkara yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).

Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji sumber palsu ini sudahpun wujud sekian lama. Terdapat ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad SAW berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya.

Antara ulama itu ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab Umar bin Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku bertajuk 'Ada' ma wajab min bayan wad' al-wadda'in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rejab)' dan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang kelebihan Rejab)'.

Ata seorang ulama tabiin menjelaskan, Nabi Muhammad SAW melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm. 11).

Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan, "Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.

Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan.

Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain. Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang." (Tabyin al-'ajab, hlm. 49).

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab' : "Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang mana hadis yang sahih dan yang palsu."

Kesimpulan daripada analisa yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, "Langsung tidak terdapat hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab, puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiyamullail khusus Rejab. Namun begitu terdapat sebahagian ulama yang membenarkan menerima hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis mauduk."

Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan hadis palsu ialah:

i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.

iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.

iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab.

Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.

v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim.

Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib.

vii. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi 'Iyash.

No comments:

Post a Comment