Thursday 19 December 2019

KERETA API PENGANGKUTAN AWAL GUA MUSANG


Gua Musang bandar paling selatan di Kelantan. Biarpun jauh di pedalaman, Gua Musang dikatakan antara lokasi terawal penempatan di Kelantan. Pengangkutan terawal ke Gua Musang ialah melalui sungai.

Perkhidmatan kereta api yang disediakan oleh pihak Inggeris turut menjadikan Gua Musang sebagai perhentian laluan Tumpat - Gemas. Perkhidmatan kereta api melalui Gua Musang bermula seawal tahun 1931.

Perkhidmatan kereta api menjadikan Gua Musang yang terletak kira-kira 180 kilometer dari Kota Bharu lebih senang dikunjungi mahupun membawa keluar penumpang ke destinasi lain.

Ketika Rancangan Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) mula beroperasi di Gua Musang sebagai ibu pejabat pada tahun 1979, penggunaan kereta api semakin penting membawa staf KESEDAR yang majoriti berasal luar dari Gua Musang.

Kemudahan jalan raya yang menghubungkan Kuala Krai - Gua Musang boleh digunakan sepenuhnya hanya pada tahun 1983. Sebelum itu jalan raya sejauh 120 kilometer itu dibuka secara berperingkat-peringkat sejak tahun 1980.

Gua Musang sekarang ini pesat membangun dan tidak lagi sukar untuk sampai ke situ. Selain perkhidmatan kereta api yang sudah 90 tahun memberi manfaat kepada penduduk Gua Musang, kini rangkaian jalan raya semakin baik dan menghubungkan ke beberapa destinasi.

Kalau dahulu hanya ada jalan raya Kuala Krai Gua Musang dan terus ke Kuala Lipis, Pahang, kini ada jalan raya Gua Musang ke Lojing terus ke Cameron Highlands untuk terus ke bandar lain di pantai barat seperti Ipoh dan kawasan utara tanah air. Laluan itu juga boleh digunakan untuk menuju ke Lembah Kelang.

Jalan raya lain menghubungkan Gua Musang ialah ke Dabong dan seterusnya ke Jeli. Satu lagi ialah jalan raya dari Gua Musang - Aring - Kuala Berang untuk kemudahan pergi dan balik dari Kuala Terengganu serta Kuantan.

No comments:

Post a Comment