Sunday 15 December 2019

TARIKAN TAMAN TASIK TITIWANGSA

Pembukaan semula Taman Tasik Titiwangsa di ibu negara pada 15 Disember 2019 sememangnya dinanti sehingga ramai tidak kisah berkunjung dari awal pagi dan bersesak kerana berbaloi untuk merasai sendiri pengalaman landskap baharu.

Keterujaan setiap pengunjung dapat dirasai dengan melihat kepada kawasan taman berkenaan yang sesak dengan kenderaan, dan boleh dikatakan ribuan manusia dari pelbagai lapisan umur memenuhi ruangan taman berwajah baharu itu.

Taman Tasik Titiwangsa baharu mempunyai banyak perubahan dari segi landskap dan kemudahan yang menarik minat pengunjung.

Taman Tasik Titiwangsa yang dibuka semula selepas ditutup sejak 1 September 2018 untuk pengubahsuaian, memperkenalkan pelbagai tarikan baharu lagi menarik seperti Taman Tema Air dan Kanopi Banjaran Titiwangsa.

Pembaharuan taman berkenaan turut memperkenalkan trek berbasikal sepanjang 2.5 kilometer, memudahkan penunggang basikal dan lebih selamat kerana dibina secara berasingan dengan trek pejalan kaki.

Naik taraf Taman Tasik Titiwangsa juga sebahagian pelaksanaan projek Sungai Nadi Kehidupan.

Berasal dari kolam bekas lombong yang terdalam selepas Tasik Mines, di Seri Kembangan, Taman Tasik Titiwangsa dibuka secara rasmi buat pertama kali pada 1 Februari 1980 oleh Allahyarham Tun Hussein Onn.

Wajah baharu berkonsepkan ‘ínclusivity’ iaitu boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang terbatas dari segi fizikal seperti orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, antara tumpuan utama di taman berkenaan adalah ‘High Fountain Jet’ di tasik itu dengan keupayaan pancutan air setinggi 100 meter.

High Fountain Jet boleh dikatakan bertaraf antarabangsa kerana pancutan air mampu naik setinggi 100 meter.

Tugasnya bersama fountain jet kecil yang lain adalah sebagai sistem pengudaraan air tasik kerana di sini, cepat sangat alga (sejenis tumbuhan) tumbuh.

No comments:

Post a Comment