Sunday 8 December 2019

SERONOK DAPAT HIKING BUKIT PANAU

Tular mengenai Bukit Panau di media sosial menjadikan bukit yang berada di kawasan sempadan jajahan Pasir Mas dengan Tanah Merah semakin dikenali sebagai lokasi kembara berjalan kaki (hiking). 

Dengan ketinggian 255 meter dari aras laut, mendakit Bukit Panau tidak terlalu sukar. Lebih-lebih lagi pendakian dilakukan melalui jalan bertar yang disediakan sehingga ke puncak.

Sekarang ini sudah terdapat laluan hiking mengikut denai bagi mereka yang ingin cabaran dan menikmati suasana alam semulajadi yang lebih tenang dan damai.

Pendakian ke puncak Bukit Panau mengambil masa antara 30 minit sehingga sejam mengikut kelajuan dan kemampuan fizikal pendaki.

Pemandangan dari puncak Bukit Panau amat menarik dengan berlatar belakang perkampungan sekitar Pasir Mas dan Tanah Merah, serta Kota Bharu dan mampu sampai ke Bachok dan Machang.

Paling menarik ialah pemandangan Sungai Kelantan yang mengalir dari selatan ke utara, selari dengan Jalan Pasir Mas - Tanah Merah.

Mereka yang ingin mendaki Bukit Panau dinasihatkan bermula awal pagi kerana untuk mengelak panas matahari. Di puncak Bukit Panau dianggap bukit botak.

Sedikit sahaja kawasan yang ada lindungan teduh pokok. Sebab itu, berada di puncak Bukit Panau membolehkan pengunjung melihat sekeliling dengan mudah tanpa terlindung penglihatan.

Jika bernasib baik, anda akan berpeluang menikmati pemandangan karpet awan di atas puncak Bukit Panau. Sungguh menarik pemandangannya dengan disinari cahaya matahari yang sedang naik dari ufuk timur.

Kedudukan Bukit Panau berhampiran jalan utama memudahkan ia dilihat dan dikunjungi. Apatah lagi ia bukit tunggal di kawasan itu.

No comments:

Post a Comment