Sunday 3 November 2019

KERAP MENGGARU SEMAKIN GATAL

Menggaru bagai nak gila akibat kegatalan kulit melampau adalah rutin yang perlu ditempuh sebahagian besar penghidap dermatitis atopik (AD) terutama mereka yang berada dalam kategori teruk.

AD adalah jenis ekzema paling kerap dihidapi. Penyakit radang kronik ini dikenal pasti menerusi simptom ruam merah gatal pada kulit yang terjadi secara berulang-ulang. Antara puncanya ialah radang terpendam di dalam badan yang dipercayai disebabkan sistem imun terlalu aktif.

AD juga penyakit sistemik yang kompleks dan mendatangkan kesan fizikal serta psikologi yang ketara.

Ciri utama AD kategori sederhana dan teruk ialah ruam yang tumbuh melata di beberapa bahagian badan serta menerbitkan kegatalan yang teruk serta berpanjangan. Kulit menjadi kering, kemerah-merahan, merekah, berkuping dan berair.

Dalam kalangan penghidap AD, sel imun pada lapisan kulit yang lebih dalam menghantar isyarat keradangan ke permukaan kulit yang menyebabkan ruam gatal.

Apabila mereka menggaru, lapisan luar kulit akan pecah dan ini akan membuka laluan kepada kuman, virus dan alergen masuk ke dalam badan.

Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan itu, sistem imun akan terus menghantar isyarat ke permukaan yang menyebabkan kegatalan dan kemerahan bertambah buruk.

Semakin digaru, semakin banyak lapisan luar kulit yang pecah dan rosak. Akibatnya, kitaran gatal dan garu akan berterusan bagi penghidap AD.

No comments:

Post a Comment