Tuesday 5 November 2019

CARA MEMBUAT BUDU

Budu atau sos bilis amat terkenal di Kelantan. Menariknya, budu bukan sahaja dijual di Kelantan, tetapi juga hampir semua tempat di Malaysia, sesuai dengan keberadaan orang berasal Kelantan yang tinggal di sesuatu tempat.

Pada masa dahulu, proses membuat budu dihasilkan sendiri oleh penduduk kampung. Tempayang budu atau guri budu diletakkan di luar rumah sepanjang proses peram budu. Budu akan diambil sedikit-sedikit apabila ingin digunakan.

Namun, sekarang ini tradisi membuat budu sendiri hampir dilupakan. Sebaliknya, industri membuat budu secara 'perusahaan' berkembang untuk membekalkan budu kepada pembeli.

Biarpun proses membuat budu dianggap 'mudah', namun tidak boleh dipandang ringan. Untuk mengekalkan mutu rasanya proses membuatnya perlu berhati-hati.

Peminat budu jenama tertentu sudah dapat menjangkakan rasa budu berkenaan dan tentunya akan berasa kecewa jika rasanya tidak sama seperti sebelumnya.

Rahsia untuk menghasilkan budu yang berkualiti tinggi adalah terletak pada tempoh ia diperam, cara memasak dan ramuan digunakan.

Ramuan perlu menepati timbangan ditetapkan kerana ia akan menentukan rasa dan kualitinya.

Bahan untuk menghasilkan budu berkualiti tinggi dan disukai ramai ialah menggunakan ikan bilis.

Untuk menghasilkan budu, ikan bilis yang siap diproses digaul dengan garam. Ia kemudian dimasukkan ke dalam bekas khas secara berperingkat dan diperam antara tiga bulan hingga setahun.

Selepas proses itu, ikan bilis akan dikeluarkan daripada bekas khas untuk dikisar menggunakan mesin dan dimasak menggunakan kawah besar untuk dijadikan budu.

Memasak budu menggunakan cara tradisional iaitu dapur kayu digunakan bagi mengekalkan rasa budu berkualiti tinggi.

Sebelum dibotolkan budu akan ditapis terlebih dahulu bagi memastikan ia berkualiti tinggi.

Biasanya budu akan dimasukkan perasa dan pewarna dibenarkan. Budu asli warnanya agak kehitaman.

No comments:

Post a Comment