Saturday 13 January 2018

SELEWENG TAFSIR AYAT AL QURAN

Allah SWT sudah menjamin keaslian al-Quran tetap kekal hingga hari kiamat. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9).

Namun, dari sudut tafsirannya masih terbuka ruang untuk berlaku. Hal itu berlaku sama ada disebabkan jahil ilmu al-Quran atau memang ada niat buruk ketika menafsirkan ayat al-Quran.

Sikap mentafsir ayat berdasarkan separuh tanpa membaca sepenuhnya menyebabkan membawa maksud yang bertentangan.

Contohnya ayat 58 surah al-Baqarah memperlihatkan Allah SWT menyerahkan pemilikan tanah suci Palestin kepada orang Israel.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah daripada benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: Ya Allah, ampunilah dosa kami; supaya Kami ampunkan kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang yang berbuat baik." (Surah al-Baqarah, ayat 58)

Ayat itu hendaklah dibaca sekali dengan ayat selepasnya, iaitu ayat 59, surah yang sama bermaksud: "Kemudian orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah Kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka)."

Jelas ayat 59, surah al-Baqarah iaitu mereka ditimpa bencana dari langit disebabkan mereka derhaka, melakukan kezaliman dan berterusan melakukan kezaliman.

Ternyata, ayat 59 itu satu celaan terhadap kaum Israel. Tentu sekali tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kaum yang dicela dan tiadalah keistimewaan diberikan kepada mereka sepertimana diperoleh sebelum celaan itu.

Kaum yang melakukan perbuatan derhaka dikenakan balasan dihalau dari kawasan mahupun dikenakan bencana sehingga hilang lenyap seperti dialami kaum pada zaman Nabi Lut dan Nabi Nuh.

Maka layaklah kaum Israel 'dilucutkan hak' mereka terhadap pengiktirafan yang diberikan pada ayat 58 surah al-Baqarah. Sebenarnya terdapat banyak lagi ayat yang secara nyata mengutuk kaum Israel yang engkar perintah Allah.

No comments:

Post a Comment