Saturday 16 December 2017

UBAH GAYA HIDUP UNTUK BERJIMAT

Kenaikan kos sara hidup sering menjadi topik perbincangan kerana ramai berasa tertekan dengan kenaikan harga barang di pasaran terutamanya bahan-bahan mentah sehinggalah kepada pakaian, pelbagai jenis perkhidmatan dan sebagainya.

Tidak dinafikan kenaikan itu amat membebankan, terutama golongan miskin dan berpendapatan sederhana yang tinggal di bandar. Segalanya perlu dibayar.

Kalau tinggal di kampung, kos sara hidup lebih murah. Ada sumber yang tidak perlu dibeli seperti sayur dan ulaman. Buah pun ada di kebun. Ada yang menternak sendiri ayam dan itik.

Mereka tinggal di bandar jarang berpeluang menikmati keadaan itu. Kalau nak bercucuk tanam, tidak ada kawasan lapang. Yang kreatif bolehlah mengguna pasu dan hidroponik.  

Tidak dinafikan kos sara hidup meningkat. Namun, kesan paling ketara punca kemelut kewangan ialah perubahan gaya hidup berbanding dahulu. Banyak perbelanjaan yang dahulunya tidak perlu, kini menjadi senarai perbelanjaan.

Dahulu tidak ada kos membayar bil internet dan telefon pintar, tetapi kini menjadi senarai penting. Masa tahun 80an tidak ada televisyen berbayar. Dahulu tidak ada restoran besar yang menyediakan berbagai jenis makanan dari Korea, Jepun dan Barat.

Dahulu, rakyat menggunakan air paip atau air telaga tanpa ditapis. Tetapi kini boleh dikatakan setiap rumah ada penapis air yang setengahnya harga mencecah RM5000.

Dahulu kalau sakit urat atau lengah badan, cari tukang urut atau makan majung. Namun, sekarang ada 'tukang urut' di rumah yang dibeli dengan harga puluhan ribu ringgit.

Semua itu perubahan gaya hidup yang memerlukan kos. Tidak salah untuk berubah asalkan mendapat keselesaan hidup. Namun, jika tidak mampu, hiduplah secara ikut kemampuan.

Jangan guna atau beli produk yang ada eltenatif lain yang boleh digunakan. Atau belilah produk asas untuk kegunaan biasa.

Contohnya, telefon pintar sudah memadai dengan harga RM500 ke bawah. Terus guna telefon pintar itu selagi boleh berfungsi. Tidak perlu terikut-ikut dengan orang lain yang guna telefon pintar yang harganya sampai dua tiga ribu.

Tidak perlu beli penapis air yang harganya RM5000. Air yang dibekalkan sebenarnya telah bersih dan menyihatkan. Kalaupun berlaku air karat, cukup dengan penapis air biasa yang berharga bawah RM1000 seunit.

Mudah kata, tidak perlu beli produk mahal dan berjenama jika tidak mampu. Belilah produk yang betul-betul diperlukan sahaja.

Bab kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Kalau kail sejegkal, lautan dalam jangan diduga.

No comments:

Post a Comment