Tuesday 5 December 2017

TANDA KULAT PUSU AKAN TUMBUH

Kulat pusu atau cendawan busut, juga dikenali kulat tahun disebabkan di sesetengah tempat ia hanya tumbuh setahun sekali. Kulat pusu unik kerana mengikut pemerhatian ia tumbuh apabila berlaku hujan yang diikuti dengan kilat dan guruh.

Satu lagi petanda akan tumbuh kulat pusu di sesuatu tempat ialah wujudnya kelkatu berterebangan. Malam hujan lebat dan sebelah siangnya yang panas terik selama 3 hari berturut-turut menandakan musim kulat pusu tiba.

Kulat pusu tumbuh meliar di atas tanah yang terdapat anai-anai. Sebab itu ia dikenali kulat pusu (busut) yang dikaitkan tempat tinggal anai-anai. Kulat pusu tumbuh secara berkoloni di atas pusu anai-anai. 

Kulat pusu akan tumbuh di tempat yang sama, sekiranya tempat itu tidak diganggu. Namun apabila kawasan tempat ia biasa tumbuh diratakan, digali dan dicangkul untuk didirikan penempatan, kulat pusu akan beralih untuk tumbuh di tempat lain pula. 

Perpindahan itu biasanya tidak jauh. Sekitar tempat yang sama. Ini berlaku kerana pusu anai-anai juga telah beralih.

Kulat pusu tidak hidup lama, jangkahayatnya mampu bertahan hanya 4 hari sahaja. Hari pertama topi kulat akan muncul dari tanah. 

Pada hari kedua ia tumbuh meninggi sehingga 5 – 6 inci dari atas permukaan bumi dan topinya sedikit membuka. Semasa hari kedua juga teksturnya sedikit kenyal dan keras.

Pada hari ketiga topinya menjadi besar dan hampir kembang. Pada hari keempat topinya berkembang dengan penuh dan dalam keadaan ‘malo’ atau matang. Oleh itu hari yang paling sesuai untuk mengutip kulat pusu adalah pada hari kedua.

Kulat pusu dianggap telah rosak sepenuhnya pada hari kelima. Sebab itu banyak kulat pusu tidak dipungut disebabkan tidak disedari kewujudannya.

Jadi, jika di sesuatu kawasan pernah ditumbuhi kulat pusu, berlaku tanda-tanda kilat dan hujan, ada kelkatu dan hari panas beberapa hari, elok diperiksa tempat itu mungkin ada kulat pusu telah tumbuh. 

No comments:

Post a Comment