Sunday 24 September 2017

ADAT DITERIMA HUKUM AGAMA

Setiap masyarakat mempunyai adat yang tesendiri  yang menjadi identiti ataupun kebanggaan masing-masing. Sesuatu adat sebati dalam masyarakat berkenaan dan diterima sebagai perkara yang benar.

Dalam memberi kemudahan dan tidak wujud pertentangan dengan kehendak adat dan agama, maka Islam menerima adat sebagai salah satu sumber hukum fiqah. Namun, penerimaan itu melalui proses yang ketat yang antara lain adat itu mesti tidak bertentangan dengan nas yang jelas. Ia diterima umum dalam masyarakat dan perkara itu telah lama berlaku sebelum ia diputusan sebagai sumber hukum dan perkara itu terus berlaku.

Penerimaan adat sebagai sumber hukum bukan bererti manusia boleh menentukan sendiri hukum agama. Hakikat sebenar sumber hukum utama adalah daripada Allah SWT. Kebenaran menggunakan adat sendiri adalah berdasarkan kepada sumber hukum sebenar. Adat hanya menjadi cabang yang tumbuh daripada pokok hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Justeru, tidak benar jika ada pihak mendakwa hukum boleh berubah mengikut kepentingan pihak tertentu. Sebarang perubahan atau penetapan hukum mesti dilakukan oleh keputusan bersama ulama, dan bukannya hanya ikut lepas cakap yang dalam ruang lingkup adat yang memang boleh berubah.

Penerimaan adat sebagai sumber hukum adalah rahmat besar umat Islam. Seperti diketahui, kehidupan manusia sentiasa berubah seiring dengan perubahan kemajuan. Banyak perkara baru perlu ditentukan hukum untuk kepentingan umat Islam terus hidup berpandukan kepada hukum. 

Kes berkaitan muamalat, penggunaan teknologi terkini dan sebagainya perlu mendapat ketentuan hukum, yang antara lain kemelut ini diselesikan melalui kaedah adat. Bagaimana hendak ditentukan hukum bermuamalat mengguna kad keredit, urusan atas talian dan sebagainya jika kaedah hukum adat digunapakai.

Sekiranya, kaedah adat tidak digunapakai, sudah tentu banyak keperluan manusia hari ini tidak dapat dipastikan hukumnya, sedangkan Islam adalah agama yang sesuai sepanjang zaman, tanpa had geografi dan memberi manfaatkan kepada seluruh alam.

Sesungguhnya, setiap hukum yang ditetapkan untuk dipatuhi oleh setiap umat Islam adalah mudah, namun tidap pula boleh dipermudahkan mengikut sesuka hati. Sumber hukum tetap berdasarkan apa yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

No comments:

Post a Comment